Apa berlaku selepas 90 hari penangguhan tarif Trump berakhir?

Apa berlaku selepas 90 hari penangguhan tarif Trump berakhir?

PATUNG berupa Presiden Amerika Syarikat(AS), Donald Trump dipamerkan di sebuah kedai di pasar di Yiwu, wilayah Zhejiang, China. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Selepas berminggu-minggu mencetus kekacauan ekonomi dengan rancangan pe­laksanaan tarif tinggi terhadap barangan import, seperti diduga, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya mengubah pendirian.

Dalam hantaran di media sosial semalam, Trump mengumumkan tarif import dari banyak negara rakan dagang utama AS ditangguhkan selama 90 hari hanya 13 jam selepas ia dikuatkuasakan.

Import dari 60 negara rakan dagangan AS termasuk Kesatuan Eropah (EU) kini akan dikenakan tarif rata sebanyak 10 peratus yang diperkenalkan Trump terhadap barangan masuk dari semua negara asing mulai 5 April lalu.

APA BERLAKU SELEPAS 90 HARI?

Ketidakpastian mengenai keputusan pentadbiran Trump menyebabkan sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku selepas penangguhan berakhir.

Hantaran Trump mengenai penangguhan itu menunjukkan bahawa tujuannya adalah memberi peluang kepada negara-negara rakan dagang AS mencapai perjanjian bagi mengelakkan tarif tersebut.

Trump dan pegawai AS lain menyatakan bahawa mereka mahu negara terlibat mengambil langkah-langkah seperti mengurangkan tarif mereka sendiri serta menghapuskan halangan perdagangan lain, termasuk peraturan, kuota, subsidi kepada pengeluar domestik dan perlindungan harta intelek yang tidak mencukupi.

Trump berpendapat, defisit perdagangan AS adalah hasil daripada halangan perdagangan dan beliau ingin menghapuskannya.

Pakar menjangkakan apabila penangguhan 90 hari berakhir pada awal Julai, negara-negara yang masih tidak berjaya mencapai perjanjian dengan AS akan berhadapan dengan jumlah peratusan tarif sama seperti yang telah diumumkannya minggu lalu.

Tetapi penganalisis turut berpendapat Trump juga boleh mengumumkan penangguhan lain sehingga perjanjian yang diinginkannya dimeterai, melihatkan beliau pernah menangguhkan tarif terhadap beberapa import dari Mexico dan Kanada sebanyak dua kali.

Dua rakan dagang terbesar AS itu tidak dikenakan tarif balas sebaliknya, barangan dari Kanada dan Mexico dikenakan cukai sebanyak 25 peratus yang dikaitkan dengan isu fentanyl dan kemasukan pendatang tanpa izin ke AS.

Namun, import yang dilindungi oleh Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dikecualikan daripada tarif ini.

Trump berkata, kekacauan dalam pasaran kewangan global selepas pelaksanaan tarif tersebut memainkan peranan besar dalam keputusan beliau.

Namun, China yang menjadi musuh ketat Trump, tidak termasuk dalam penangguhan ini.

Sebaliknya, beliau mengumumkan akan menaikkan lagi kadar tarif terhadap barangan dari China kepada 125 peratus berbanding 104 peratus sebelum ini.

Keputusan ini dibuat selepas Beijing mengumumkan rancangan untuk membalas dengan mengenakan tarif sebanyak 84 peratus ke atas barangan AS.

Dalam hantaran di media sosial semalam, Trump menyatakan bahawa beliau yakin negara-negara lain yang terkesan dengan tarif tersebut tidak akan mengumumkan ‘serangan balas’ dalam apa jua bentuk atau cara.

Pelaksanaan tarif balas itu menyebabkan ketidaktentuan pasaran dan meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan kemerosotan ekonomi malah, Trump mengakui menerima tekanan besar daripada pemimpin perniagaan dan pelabur untuk membatalkan polisi tersebut.

SAHAM MELONJAK

Saham melonjak selepas pengumuman Trump mengenai penangguhan beberapa tarif.

Indeks S&P 500 mencatatkan lonjakan sebanyak 9.5 peratus, peningkatan terbesar dalam satu hari sejak tahun 2008, sekali gus menutup minggu yang penuh ketidaktentuan.

Harga minyak, yang jatuh dalam beberapa hari sebelumnya kerana kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global, turut pulih selepas pengumuman penangguhan itu.

SOYA JADI SENJATA CHINA, EU

Pasaran kacang soya kini dijangka menjadi senjata rahsia China dan EU menentang perang tarif Trump kerana eksport pertanian teratas AS itu menjadi titik lemah Washington dalam pertikaian yang sedang berlangsung.

Perang perdagangan kacang soya mampu menjadi masalah besar bagi AS dari segi ekonomi dan politik.

Walaupun permintaan tempatan semakin meningkat, eksport membentuk asas kejayaan tanaman itu dengan AS kini merupakan pengeksport kedua terbesar kacang soya di dunia, menjual lebih separuh hasilnya kepada kira-kira 80 negara.

China, yang mengimport AS$15 bilion (RM67.09 bilion) kacang soya AS setakat ini adalah pasaran paling penting, diikuti oleh EU, terutamanya Jerman, Sepanyol dan Belanda yang membeli hasil bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM8.94 bilion).

Semalam, blok itu mengundi untuk mengadakan surcaj sehingga 25 peratus dalam senarai barangan disasarkan di bawah satu set tarif pertama yang akan dikuatkuasakan mulai 15 April.

Pada Sabtu lalu, Beijing meletakkan tarif tambahan 34 peratus terhadap semua barangan AS dan kenaikan 50 peratus lagi levi yang diumumkan pada Rabu, menjadikan kacang soya negara itu kini akan menghadapi 94 peratus tarif di China.

Pakar berkata, China mampu bertaruh dengan pasaran soya AS kerana mereka sudah pun mula beralih ke Brazil sejak 2017 ketika perang perdagangan pertama bermula dalam pentadbiran pertama Trump.

“China membeli sebanyak 52 peratus daripada eksport kacang soya kami pada 2024. Memandangkan saiz pembeliannya, China tidak boleh diganti dengan mudah,” kata Ketua Ekonomi Persatuan Kacang Soya Amerika, Scott Gerlt, kepada agensi berita tempatan.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN