KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan kehadirannya dalam teknologi dan komunikasi angkasa lepas, khususnya dalam penempatan satelit satelit orbit bumi rendah (LEO) menerusi usaha sama antara Altel Group Sdn. Bhd. dan Zhejiang Geespace Technology dari China.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu akan meletakkan ketersambungan berasaskan ruang sebagai pemacu utama kemajuan negara dalam sektor digital, perindustrian dan ekonomi dengan penubuhan Altel Digital Integrated Sdn Bhd (ALTEL Digital).
Ujarnya, keseluruhan infrastruktur ALTEL Digital, termasuk stesen bumi, Pusat Telemetri, Penjejakan dan Perintah (TT&C), dan Pusat Data Aplikasi akan diwujudkan dan dikendalikan di Malaysia untuk mematuhi piawaian keselamatan negara.
“Untuk melindungi data negara kita, ALTEL Digital akan mewujudkan dan mengendalikan sepenuhnya infrastruktur utama di dalam negara.
“Semua data pengguna akan diproses dan disimpan di sini untuk memastikan pematuhan piawaian keselamatan negara,” katanya pada Majlis Pelancaran ALTEL Digital di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ALTEL Digital Integrated Sdn. Bhd., Khoo Yuen Hing berkata, pembiayaan projek akan datang daripada gabungan suntikan ekuiti pemegang saham serta pembiayaan dalaman syarikat, termasuk rakan usaha sama seperti Zhejiang Geespace dan ALTEL.
“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan bagi pelaksanaan teknologi ini dalam sektor keselamatan dan pertahanan.
“Dalam masa sama, usaha turut dijalankan bersama sektor pelabuhan, maritim serta automotif untuk penerapan aplikasi teknologi yang dibangunkan.
“Perbincangan kami dengan agensi-agensi kerajaan berjalan lancar dan mendapat maklum balas positif, khususnya berkaitan penggunaan spektrum dan penyertaan dalam program Perkongsian Awam Swasta (PPP),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ALTEL Digital di sini semalam.
Dalam tempoh 24 bulan akan datang, ALTEL Digital merancang untuk menubuhkan dua stesen bumi, dua Pusat TT&C, Pusat Data Aplikasi, serta rangkaian PPP-RTK yang lengkap.
ALTEL Digital memberi tumpuan kepada perkhidmatan satelit dan telekomunikasi, dengan memanfaatkan rangkaian komunikasi satelit orbit bumi rendah (LEO) global “Geely Constellation” atau dikenali sebagai GEESAT.COM untuk membangunkan sistem perkhidmatan dan aplikasi komunikasi bersepadu. – UTUSAN