PETALING JAYA: WF Holding Limited (WF Holding), pengeluar produk plastik bertetulang gentian kaca (FRP) yang berpangkalan di Malaysia mengumumkan penyenaraian di Pasaran Modal Nasdaq dengan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak pada AS$4.00 (RM17.73) sesaham.
Menurut kenyataannya, syarikat dijangka menerima hasil kasar keseluruhan sebanyak AS$8 juta (RM35.5 juta) daripada tawaran ini, sebelum ditolak diskaun penaja jamin dan perbelanjaan berkaitan lain.
Katanya, dana yang diperoleh akan digunakan untuk memperluas kapasiti pengeluaran, pengambilan dan latihan pekerja, modal kerja serta keperluan korporat am.
Ketua Pegawai Eksekutif WF Holding, Chee Hoong Lew berkata, penyenaraian itu satu pencapaian penting yang membolehkan syarikat memperluas rangkaian produk, kapasiti dan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk FRP.
“Kami teruja untuk terus berkembang di Malaysia serta pasaran antarabangsa utama seperti Australia dan Singapura, dengan menyediakan produk dan penyelesaian FRP berkualiti tinggi kepada pelanggan.
“Pelan pengembangan kami merangkumi pemerolehan kilang sedia ada, penubuhan fasiliti pembuatan baharu, atau kerjasama strategik.
“Kami juga merancang untuk memperluaskan penawaran produk melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A), pembangunan produk dalaman, serta pelaburan dalam teknologi dan peralatan.
“Matlamat utama kami adalah untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk FRP dalam pelbagai industri seperti minyak dan gas, sistem kawalan pencemaran udara, serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Saham WF Holding tutup pada AS$3.75 (RM16.62) pada harı pertama dagangan, memberi syarikat nilai permodalan pasaran AS$93.56 juta (RM414.19 juta).-UTUSAN










