PETALING JAYA: Stok minyak sawit Malaysia dijangka kekal mendatar pada Mac 2025, berikutan eksport rendah yang berterusan manakala hasil pengeluaran pulih disebabkan jumlah hari bekerja lebih banyak, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, hujan lebat di Sabah dan Sarawak berkemungkinan mengganggu aktiviti penuaian dan mengimbangi hasil pengeluaran.
Katanya, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan eksport minyak sawit, masing-masing diunjur meningkat 10 peratus dan lima peratus dari bulan ke bulan kepada 1.3 juta tan dan 1.05 juta tan pada Mac 2025.
“Premium harga MSM berbanding minyak kacang soya berkemungkinan mendorong beralih kepada alternatif yang lebih murah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Stok minyak sawit penutup Malaysia susut 4.3 peratus dari bulan ke bulan dan 21.2 peratus tahun ke tahun kepada 1.51 juta tan pada Februari 2025, menandakan paras terendah dalam tempoh 22 bulan.
Penurunan itu disebabkan pengeluaran yang lebih rendah dan penggunaan tempatan yang lebih tinggi.
CIMB Securities berkata, paras stok adalah lebih tinggi daripada ramalannya sebanyak 1.47 juta tan dan anggaran konsensus antara 1.48 juta hingga 1.49 juta tan.
Katanya, keluaran minyak sawit turun empat peratus dari bulan ke bulan dan 5.7 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.18 juta tan, 1.8 peratus di bawah purata lima tahun Februari iaitu 1.2 juta tan.
Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan hujan lebat di Sabah, yang mengganggu aktiviti penuaian, dan kesan cuaca kering yang berlarutan terhadap hasil semenanjung Malaysia.
CIMB Securities berkata, kebimbangan semakin meningkat terhadap penurunan permintaan minyak sawit didorong oleh penetapan harga premium dan peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS), China dan Kanada.
“Keputusan China untuk mengenakan 100 peratus tarif import ke atas minyak kanola dan kek minyak Kanada, berkuat kuasa 20 Mac, tidak mungkin memberi kesan ketara kepada pengguna China, kerana Kanada mengeksport 3.08 juta tan kanola dan 1 juta tan tepung Kanola ke China tetapi hanya 51, 000 tan minyak Kanola antara Ogos 2024 hingga Ogos 2025,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran harga purata MSM sebanyak RM4,200 setan dan menjangkakan harga kekal kukuh bulan ini disokong oleh bekalan yang ketat dan kemajuan pelaksanaan B40 Indonesia.
Bagaimanapun, ia mengunjurkan potensi penurunan harga MSM pada April dan Mei 2025 apabila bekalan pulih.-UTUSAN










