Pertumbuhan ekonomi global diunjur perlahan kepada 2.4%

Pertumbuhan ekonomi global diunjur perlahan kepada 2.4% tahun ini

CHINA, ekonomi kedua terbesar dunia, dijangka menyaksikan pertumbuhan KDNK yang perlahan kepada 4.2 peratus pada tahun ini – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi global dijangka perlahan tahun ini berikutan ketegangan perdagangan, ketidaktentuan dasar dan risiko geopolitik, menurut Moody’s Analytics.

Dalam laporan, Moody’s mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global berkembang sebanyak 2.4 peratus pada 2025 dan 2026, turun daripada 2.7 peratus pada tahun lalu.

“Ekonomi global memasuki wilayah yang tidak menentu. Amerika Syarikat (AS) telah mengatasi prestasi negara yang setara dengannya untuk tiga tahun yang lalu, tetapi mula menunjukkan kelembapannya. 

“Prospek drama had hutang baharu dan penutupan kerajaan di AS boleh menambah kepada kegawatan di negara itu.

“Ekonomi dunia kelihatan semakin rapuh, dan tidak akan mengambil masa yang lama untuk kejatuhannya. Tarif yang lebih tinggi, peningkatan perdagangan dan kemelut geopolitik, serta perdagangan pasaran kewangan yang meruncing adalah kebimbangan utama,” kata Moody’s.

China, ekonomi kedua terbesar dunia, dijangka menyaksikan pertumbuhan KDNK yang perlahan kepada 4.2 peratus pada tahun ini dan 3.8 peratus pada 2026, kerana tekanan perang perdagangan dan cabaran struktur menjadikan sasaran pertumbuhan Beijing lebih sukar dicapai.

Moody’s berkata, walaupun kerajaan China telah menetapkan sasaran pertumbuhan “sekitar 5.0 peratus” pada 2024, untuk mencapainya akan menjadi semakin sukar pada masa ketegangan perdagangan China dan AS semakin memuncak.

Sementara itu, pertumbuhan di Eropah dan Jepun akan menyaksikan sedikit peningkatan, kerana pemulihan yang perlahan dan tidak sekata membantu mereka merapatkan kedudukan.

“Pertumbuhan KDNK India akan kekal stabil 6.5 peratus pada tahun ini dan 2026, sejajar dengan keputusan 2024.

“Namun, kebanyakan pasaran baru muncul akan bergelut, kerana perdagangan menjadi enjin pertumbuhan yang kurang dipercayai. 

“Ekonomi pasaran sempadan amat terdedah, kerana bantuan pembangunan AS melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) dikurangkan,” tambah Moody’s.

Dalam pada itu, agensi penarafan itu berkata, kualiti kredit korporat telah pulih dengan ketara sejak penularan Covid-19 lima tahun lalu.

“Dari segi positif, beberapa sektor telah mendapat manfaat daripada impak wabak itu, dengan lonjakan permintaan untuk teknologi digital telah mencipta peluang pendapatan yang besar untuk syarikat teknologi.

“Bagaimanapun, terdapat industri yang terkesan daripada penularan wabak tersebut antaranya pasaran hartanah pejabat berikutan model kerja hibrid dan peralihan ke arah pengiklanan digital dan media sosial yang meletakkan tekanan pada media penyiaran tradisional,” katanya.

Sementara itu, harga rekod untuk logam tertentu antara 2021 dan 2022 membantu syarikat perlombongan mengurangkan hutang dan meneruskan penggabungan dan pengambilalihan, mengukuhkan kedudukan kewangan mereka.

Di sektor lain, ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik telah menutup anjakan struktur jangka panjang.

Industri kimia, sebagai contoh, telah bergelut dengan penyahstokan inventori, permintaan yang lemah dan penurunan harga berikutan turun naik harga selama bertahun-tahun yang dicetuskan oleh gangguan rantaian bekalan.

Begitu juga, industri auto, walaupun mencapai rekod keuntungan pada 2023, terus menghadapi kesukaran untuk menyelaraskan pengeluaran dengan permintaan, di tengah-tengah peralihan kepada kenderaan elektrik dan hibrid, di samping peningkatan persaingan daripada pengeluar China.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN