PERSAINGAN skuter 250cc semakin sengit bila dua jenama baharu tempatan mula melancarkan serangan pada harga yang lebih mampu.
Ini semua adalah tindak balas dari fenomena Yamaha X-Max 250 yang dilancarkan dalam tahun 2018.
Tahun ini, dua model skuter 250cc dilancarkan dengan jenama tempatan, iaitu Moda Sporter S dan Aveta Vanguard 250.
Moda Sporter S
Moda ialah jenama di bawah syarikat Afy Mobility Industries (AMI) yang juga bertanggungjawab untuk jenama Suzuki (motosikal), Fantic, MV Agusta dan Kove.
Menggunakan enjin silinder tunggal 244cc sejukan cecair dan sistem EFI serta elektronik dari Bosch, ia menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.
Transmisi CVT menggerakkan roda belakang bersaiz 14 inci sementara roda hadapan pula ialah 15 inci. Saiz tayar ialah 120/70-15 (depan) dan 140/60-14 (belakang), menggunakan tayar tanpa tiub.
Brek hadapan terdiri dari dua brek cakera bersaiz 260 milimeter (mm) dan di belakang ialan brek cakera 240 mm, kedua-duanya dengan sistem ABS.
Reka bentuk hadapan Sporter S ini memang mengajuk bentuk Ducati 916, malah kombinasi warna merah/putih itu jelas menunjukan tujuan tersebut.
Di bahagian belakang, Sporter S kelihatan sedikit ekstrim, dengan ekor yang pendek dan lampu yang disorok di bahagian bawah, ala Ducati Panigale.
Panel meter LCD memang menunjukan ia sebenarnya menggunakan komponen-komponen yang datang dari negara China, tetapi menurut Moda, model ini telah ditala kembali dengan banyak untuk menjadikan ia berlainan dari model-model sama yang juga dijual di negara lain seperti di China dan Taiwan.
Moda memang mempunyai fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Sungai Petani dan hasil tinjauan penulis sendiri, ia mempunyai lebih dari lima orang jurutera motosikal berpengalaman yang datang dari era kegemilangan Modenas.
Selepas menunggang selama hampir sebulan, Moda Sporter S ini menampilkan satu pengalaman yang tidak ada di dalam arena skuter di Malaysia, skuter maxi yang sporty.
Sistem gantungan memang ditala untuk memastikan selekoh diambil dengan yakin dan unit penulis mampu mencecah kelajuan di atas 140 kilometer sejam (kmsj) dengan pantas.
Sayangnya, di sekitar bandar atau kawasan urban, sistem gantungan yang keras itu akan membuatkan tunggangan sedikit kurang selesa dan roda hadapan terasa berat ketika membelok pada kelajuan rendah.
Ini semua adalah apa yang memang dijangka untuk sebuah skuter yang ditala khusus untuk pengendalian dalam kelajuan tinggi. Ia umpama membandingkan sebuah Proton Satria Neo biasa dengan varian Satria Neo R3.
Ruang bawah pelana memang sedikit kecil (10 liter) berbanding dengan skuter X-Max ataupun Modenas Elegan 250 tetapi prestasi lampu LED hadapan cukup memuaskan hati, terang benderang umpama lampu limpah stadium Darul Makmur.
Sistem elektronik dilengkapi dengan Traction Control, penyukat tekanan udara tayar dan laporan diagnostik yang cuma difahami oleh seorang juruteknik.
Moda ini juga dilengkapi dengan sambungan Bluetooth kepada aplikasi Moda Car Bit di telefon pintar.
Harga Sporter S ini bermula dari RM17,888 sebelum pendaftaran dan insurans.

Aveta Vanguard 250
Percaya atau tidak, Aveta ini ialah jenama tempatan yang dibangunkan oleh sekumpulan individu yang pernah bertanggungjawab untuk jenama Demak.
Aveta hadir di Malaysia dengan model Ranger Max Explorer, kapchai gaya lasak yang cukup popular dan dijual dengan harga di bawah RM7,000.
Untuk skuter maxi Vanguard ini, harganya menjadi igauan jenama motosikal yang lain. Untuk varian Standard, bermula dari RM14,488 sementara varian Special Edition pula bermula dari RM16,388.
Enjin yang digunakan sebenarnya sama dengan Moda, enjin sejukan cecair selinder tunggal 244cc dengan sistem elektronik dan EFI dari Bosch, menghasilkan 24.8hp dan 22.5Nm.
Malah jika diintai, bentuk enjin memang tidak berbeza langsung dan kerana itu, Vanguard ini juga boleh mencapai halaju maksimum yang tinggi untuk sebuah jetski darat kategori 250cc, sama seperti Moda Sporter S.
Selain dari itu, reka bentuk Vanguard pula memang sedikit ‘abah-abah’. Ia tetap boleh dikatakan moden dan cantik, tetapi bila dibandingkan dengan Moda, Vanguard mempunyai rupa yang disukai oleh golongan yang matang.
Ruang bawah pelana juga lebih besar dengan 23.5 liter untuk muatan kargo yang praktikal.
Sistem elektronik sama seperti Moda, tetapi hanya untuk varian SE. Malah, dari segi teknikal, SE juga mempunyai tayar yang satu inci lebih besar (depan belakang), saiz peredam gantungan hadapan yang lebih besar dan tambahan kamera video di hadapan.
SE juga dikatakan lebih mampu untuk ditunggang di kawasan lasak kerana Traction Control yang boleh ditutup. Tak pasti siapa yang mahu menunggang sebuah skuter untuk ke off-road tetapi itulah yang dijual oleh syarikat-syarikat motosikal sekarang.
Yang mana jadi pilihan?
Kelengkapan dan reka bentuk Vanguard dijangka mampu menarik lebih ramai peminat berbanding dengan Moda tetapi jika ditunggang kedua-dua model itu, Moda memberikan rasa yang jauh lebih sporty jika suka menunggang laju.
Di atas lebuh raya, Vanguard juga lebih selesa kerana Moda terasa terhenjut-henjut, cuma Vanguard lebih mudah berbuai ditiup angin lintang.
Dari segi kualiti, kedua-dua menampilkan pemasangan tempatan yang baik dan dari segi khidmat lepas jualan, Moda dibantu oleh pengedar-pengedar Suzuki di seluruh negara, sementara Aveta oleh pengedar-pengedar motosikal pelbagai jenama.
Untuk alat ganti, penulis syak ia sama seperti model-model China yang lain, di mana ada pilihan komponen dari pengedar sendiri, atau dari platform jualan atas talian dan dari bengkel-bengkel pakar skuter.
Harga pasti akan menjadi taruhan tetapi dalam pasaran sengit di mana harga jualan terakhir bergantung kepada pengedar, tidak mustahil harga Moda boleh turun lebih rendah dan harga Vanguard boleh naik lebih tinggi.
Tepuk dada tanya selera, pembeli perlu tahu tahap ‘abah-abah’ yang mana mereka berada untuk membuat pilihan.
Spesifikasi
Moda Sporter S
Enjin: Silinder tunggal 244cc 4-injap SOHC Bosch EFI & Engine Management
Transmisi: CVT
Tenaga maksimum: 24.8hp @ 8,500 rpm
Daya kilas maksimum: 22.5Nm @ 6,500 rpm
Tayar: 120/70-15 (depan, tanpa tiub); 140/60-14 (belakang, tanpa tiub)
Brek: 2 Cakera 260mm ABS (depan); 1 Cakera 240mm ABS (belakang)
Saiz tangki: 13 liter
Berat: 186 kilogram (kg)
Harga sebelum pendaftaran dan insurans: RM17,888
Aveta Vanguard Standard dan Special Edition (SE)
Enjin: Silinder tunggal 244cc 4-injap SOHC Bosch EFI & Engine Management
Transmisi: CVT
Tenaga maksimum: 24.8hp @ 8,500 rpm
Daya kilas maksimum: 22.5Nm @ 6,500 rpm
Tayar:
Standard – 120/70-14 (depan, tanpa tiub); 140/60-13 (belakang, tanpa tiub).
Special Edition – 120/70-15 (depan, tanpa tiub); 140/70-14 (belakang, tanpa tiub).
Brek: 2 Cakera 260mm ABS (depan); 1 Cakera 240mm ABS (belakang) – SE lengkap dengan angkup 4-piston di depan
Saiz tangki: 13 liter
Berat: 177 kg
Harga sebelum pendaftaran dan insuran:
Standard – RM14,488
Special Edition – RM16,388-UTUSAN










