Matrade catat jualan RM264 juta di Foodex Japan 2025

Matrade catat jualan RM264 juta di Foodex Japan 2025

DELEGASI Matrade yang melibatkan 11 syarikat dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA) di Foodex Japan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mencatatkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM264.39 juta di Foodex Japan 2025, jauh mengatasi sasaran awal sebanyak RM40 juta.

Ia berdasarkan jualan sebenar RM1.2 juta dan potensi jualan mencecah RM263.13 juta di pameran itu yang berlangsung dari 11 Mac 2025 hingga 14 Mac 2025 di Tokyo Big Sight.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya gembira dengan prestasi cemerlang syarikat-syarikat Malaysia di Foodex Japan 2025.

“Kejayaan ini membuktikan kualiti, inovasi dan daya saing global industri makanan dan minuman halal Malaysia. 

“Ia juga mencerminkan keberkesanan Foodex Japan sebagai pintu masuk penting bagi syarikat Malaysia untuk mengembangkan pasaran antarabangsa mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, Matrade komited untuk memperkasakan syarikat Malaysia dalam industri makanan dan minuman global yang dinamik. 

“Kami menyedari kepentingan inovasi berterusan dan penyesuaian kepada perubahan keperluan pengguna. 

“Trend yang diketengahkan di Foodex Japan 2025, seperti peningkatan permintaan terhadap produk berasaskan tumbuhan, makanan berfungsi serta amalan lestari akan menjadi faktor penting dalam strategi pertumbuhan syarikat Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, Matrade komited untuk memperkukuh kehadiran Malaysia di Foodex Japan,” ujarnya. 

Mohd. Mustafa berkata, Matrade akan berusaha mendapatkan ruang pameran yang lebih besar bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia menyertai edisi akan datang. 

“Langkah strategik ini akan membolehkan kami memaksimumkan peluang pertumbuhan eksport dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri makanan dan minuman global. 

“Dengan pengenalan dewan khas halal, kosher dan organik di Foodex akan datang, kami yakin syarikat Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapai pertumbuhan mampan dan pengembangan pasaran, bukan sahaja di Jepun tetapi juga di seluruh Asia dan seterusnya,” katanya. 

Edisi ke-51 Foodex Japan dijadualkan berlangsung dari 10 Mac 2026 hingga 13 Mac 2026 di Tokyo Big Sight.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×