Laksana konsolidasi fiskal bagi mengekalkan keyakinan pelabur

Laksana konsolidasi fiskal bagi mengekalkan keyakinan pelabur

BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu konsisten melaksanakan dasar pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dalam pasaran ekuiti tempatan. 

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkongsian maklumat dan strategi komunikasi perlu diperkasakan supaya dasar kerajaan dapat difahami dan diterima baik oleh rakyat.  

Katanya, dari segi industri, Malaysia menawarkan ekosistem kondusif dengan dasar kerajaan yang pro perniagaan, selain kestabilan politik yang menjamin pelaksanaan dasar secara konsisten. 

“Pelabur asing mencatatkan aktiviti penjualan bersih berjumlah RM7.8 bilion sejak awal tahun sehingga 17 Mac lalu.  

“Bagaimanapun, fenomena ini bukanlah sesuatu yang unik kepada Malaysia kerana negara lain di Asia turut mengalami aliran keluar dana asing.  

“Sebagai contoh, India mencatatkan jualan bersih berjumlah AS$16.5 bilion, diikuti Indonesia (AS$1.56 bilion), Korea Selatan (AS$5.46 bilion) dan Thailand (AS$927.5 juta),” katanya kepada Utusan Malaysia.  

Menurut beliau, fokus kerajaan dalam membangunkan sektor teknologi bukan perkara baharu kerana Malaysia sudah pun menjadi hab elektronik sejak 1970an.  

“Usaha terkini kerajaan untuk mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga telah mencetuskan kesan rantaian seperti pembinaan pusat data yang memerlukan infrastruktur sokongan seperti tenaga boleh diperbaharui dan bekalan air.  

“Selain itu, keperluan tenaga kerja mahir menuntut sektor pendidikan untuk terus diperkasakan bagi memenuhi permintaan industri,” tambahnya.  

Dalam aspek komunikasi, beliau menegaskan kepentingan penyampaian maklumat yang jelas dan berkesan kepada kumpulan sasaran.  

“Pelabur institusi memerlukan data terkini dan analisis mendalam bagi membolehkan mereka membentuk pandangan jelas mengenai hala tuju ekonomi negara.  

“Bagi komunikasi kepada masyarakat umum, penggunaan bahasa yang mudah difahami adalah penting agar mereka jelas mengenai dasar kerajaan tanpa dibebankan dengan istilah teknikal atau data yang kompleks,” ujarnya.  

Afzanizam turut menegaskan bahawa kerajaan perlu konsisten dalam pelaksanaan dasar tanpa membuat pusingan U yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

Pasaran saham Malaysia kini diniagakan pada nisbah harga pendapatan (P/E) hadapan 13.9 kali, menghampiri paras terendah dalam sejarah.  

Pegangan asing dalam ekuiti tempatan turut mencatatkan penurunan apabila berada pada 19.6 peratus setakat akhir Februari 2025, hanya 0.2 mata peratusan (pp) lebih tinggi daripada paras terendah sepanjang masa iaitu 19.4 peratus.  

Trend ini mencerminkan penyusutan berterusan minat pelabur asing terhadap pasaran tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN