PETALING JAYA: Harga emas dijangka meneruskan aliran kenaikan, didorong ketidaktentuan pasaran global serta risiko geopolitik yang kian meningkat yang menjadi antara faktor utama para pelabur memilih emas, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, permintaan daripada bank pusat di peringkat global juga telah menyokong lonjakan harga emas.
“Para pelabur dilihat memilih emas sebagai aset pelaburan mereka berikuitan ketidaktentuan pasaran global serta risiko geopolitik yang kian meningkat.
“Sekiranya trend seperti ini dikekalkan, harga emas akan kekal tinggi iaitu sekitar AS$2,900 (RM12,760) bagi setiap auns,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Mualamat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, harga emas akan terus meningkat di antara RM450 hingga RM500 segram.
Katanya, peningkatan itu dijangka sehingga pertengahan tahun ini disebabkan ekonomi dunia masih lembab untuk permintaan minyak petrol dan diesel susulan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Jika pasaran sudah mula stabil dan harga minyak naik baharu harga emas akan stabil.
“Permintaan tinggi untuk emas disebabkan harga minyak petrol jatuh iaitu AS$70 (RM311.18) setong. Kebiasaannya, apabila harga minyak petrol naik, harga emas turun dan sebaliknya. Korelasi tinggi antara kedua-duanya,” katanya.
Pada Sabtu lalu, harga emas mencecah AS$3,000 (RM13,333) untuk satu auns atau 28.34 gram buat pertama kali dalam sejarah.
Kenaikan itu dirangsang oleh permintaan untuk aset selamat ketika pelabur bimbang tentang tarif dan dasar geopolitik Trump.
Menerusi semakan di laman web Public Gold, angka itu naik RM2 berbanding Jumaat yang mencatatkan RM461 (segram).
Pada 5.11 petang semalam, harga emas 999 berada pada RM475.20 segram, harga emas 916 pula RM 435.72 segram.-UTUSAN










