PETALING JAYA: Bursa Malaysia kembali positif dan kembali didagangkan pada paras 1,500 mata, sejajar dengan kenaikan di Wall Street sejak kelmarin selepas beberapa hari mencatatkan penjualan.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka tinggi pada 1,488.79 semalam, sebelum melonjak 25.20 mata dan ditutup pada 1,510.03, berbanding 1,484.83 ketika ditutup pada Rabu.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 728 berbanding 268, dengan 421 kaunter tidak berubah, 973 kaunter tidak diniagakan.
Jumlah dagangan mencecah 3.25 bilion saham bernilai RM2.9 bilion.
Pengarah Bersekutu (Pendidikan) Nourven Academy, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, turun naik pasaran saham global dan tempatan didorong oleh faktor politik serta dasar yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika (AS), Donald Trump.
Katanya, apabila Trump cuba menaikkan tarif, kesan tersebut dirasai oleh smeua pihak terutamanya negara jirannya seperti Mexico, Kanada serta rakan dagangnya di Eropah.
“Apabila syarikat seperti di negara Eropah terkesan, mereka akan mengambil kira ketika mahu membuat keputusan bagi pelaburan di luar negara.
“Kebimbangan ini menjadikan pasaran saham tidak tentu arah dan turut memberi impak kepada pasaran saham AS sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pasaran saham tempatan akan kekal tidak menentu buat masa terdekat ini, tetapi perkara tersebut tidak akan berlarutan terlalu lama.
“Bursa Malaysia melonjak semula setelah jatuh di bawah 1,500 disebabkan permainan pelabur untuk jangka pendek. Mereka lihat satu-satu saham itu tak berapa menarik, jadi mereka jual dan beli saham lain.
“Walau bagaimanapun, ini bukan seperti krisis kewangan dan tidak perlu terlalu risau. Akan ada turun naik buat masa terdekat ini,” ujarnya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, keputusan Kanada untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan AS bernilai AS$21 bilion (RM93 bilion) adalah berbeza dengan prestasi Wall Street yang mengalami kenaikan semula.
Jelasnya, Prestasi Wall Street itu didorong oleh data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang lebih rendah berbanding jangkaan telah meyakinkan pelabur, jelasnya.
Keadaan itu boleh mempengaruhi prospek Rizab Persekutuan (Fed) AS berkaitan kadar faedah, tambah firma pembrokeran itu.
Malacca Securities menjelaskan, di peringkat domestik, terdapat peluang dagangan dalam saham teknologi yang terlebih jual, dan pihaknya mengekalkan unjuran positif bagi sektor perbankan, disokong oleh kenaikan semula Wall Street.
“Walaupun mengalami tekanan jualan, pendapatan dan dividen sektor itu yang semakin meningkat dijangka membantu mengurangkan risiko penurunan.
“Sementara itu, kami cenderung kepada REIT kerana peningkatan semula jumlah kunjungan ke pusat beli-belah utama,” ujarnya.-UTUSAN










