Winstar Capital sasar ke Papan Utama Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun

Winstar Capital sasar ke Papan Utama Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun

VINCENT CHUA BOON HONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Winstar Capital Berhad (Winstar Capital) menyasarkan disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi, selepas merekodkan kejayaan penyenaraian di Pasaran ACE.

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE pada Disember lalu, mendapat permintaan tinggi dengan terlebih langgan sebanyak 80.17 kali. Syarikat itu menawarkan 14.5 juta saham pada harga 35 sen sesaham.

Saham tersebut melonjak 45.7 peratus apabila dibuka pada harga 49 sen sesaham dan mencapai paras tertinggi pada 56.5 sen sebelum ditutup pada 51 sen memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM148 juta. Winstar memperoleh hampir RM26 juta melalui penawaran IPO berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Winstar Capital, Vincent Chua Boon Hong berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran tersebut berdasarkan strategi yang telah diatur oleh Syarikat, disokong oleh persekitaran perniagaan dan pasaran domestik yang memberangsangkan.

Beliau berkata, Kumpulan sedang berusaha memenuhi kriteria ditetapkan oleh Bursa Malaysia untuk penyenaraian di Papan Utama. Antaranya, mempunyai aliran tunai yang kukuh dan keuntungan selepas cukai (PAT) melebihi RM20 juta.

“Sudah tentu kami yakin dapat mencapai sasaran itu. Ketika ini keadaan pasaran di Malaysia adalah baik dan kita sedang usaha penuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Vincent berkata, selepas penyenaraian tahun lalu, Syarikat merekodkan prestasi memberangsangkan dengan harga saham meningkat dua kali ganda, didorong oleh keyakinan berterusan para pelabur.

“Kami berharap momentun ini berterusan dengan pelabur terus yakin terhadap operasi Syarikat,” katanya yang memberitahu, Winstar Capital ketika ini mempunyai kira-kira 3,500 pelanggan dan menyasarkan tambahan lagi 500 pelanggan tahun ini.

Katanya, berdasarkan perkembangan itu, Kumpulan menyasarkan peningkatan pendapatan dan jualan sebanyak 50 peratus tahun ke tahun kepada RM300 juta, daripada RM200 juta yang direkodkan tahun lalu.

Untuk mencapai sasaran itu, Kumpulan memperuntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak kira-kira RM20 juta untuk pembinaan kilang dan pembelian mesin baharu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

PELABUR menghadiri ssi penerangan mengenai syarikat Winstar Capital di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Winstar Capital juga katanya, akan fokus kepada pengembangan perniagaan dalam PV Solar dengan tumpuan kepada segmen perusahaan sederhana dan kecil. Bagi mengatasi masalah pekerja pula, Winstar Capital turut meningkatkan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Lee Yong Zhi berkata, Syarikat sedang meneliti segala keperluan untuk penyenaraian di Papan Utama Bursa Malaysia.

“Selepas semua kriteria ditetapkan telah dipenuhi, baharulah kami kemukakan permohonan penyenaraian,” katanya.

Berdasarkan maklumat dalam prospektus syarikat, Winstar Capital merupakan sebahagian daripada rantaian nilai industri aluminium, terlibat terutamanya dalam penyemperitan dan pembikinan aluminium serta perdagangan dan pengedaran bahan binaan.

Kumpulan turut terlibat dalam segmen alir pertengahan dan hiliran rantaian nilai industri aluminium di mana Syariat menukar bilet aluminium kepada produk-produk aluminium utama, iaitu profil aluminium tersemperit.

Selain itu, Winstar Capital juga terlibat dalam pembikinan dan pemasangan profil aluminium tersemperit ke dalam tangga aluminium. Ia boleh digunakan untuk pembikinan pelbagai bahan binaan seperti rangka tingkap dan rangka pintu. Kumpulan juga terlibat dalam perdagangan dan pengedaran bahan binaan dan penyediaan perkhidmatan pemasangan sistem PV solar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN