Sijil halal perkukuh jenama Haruka Bakery

Sijil halal perkukuh jenama Haruka Bakery

KHAIRUL Shahril (kiri) semasa pembukaan gerai Haruka Bakery di Pernas International Franchise Festival (PIFF) 2025. –UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Haruka Bakery, jenama tempatan yang diasaskan di Malaysia,terus memperkukuh kedudukan dalam industri bakeri dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang telah diperoleh sejak 2017.

Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Haruka Bakery, Datuk Khairul Shahril berkata, pensijilan itu bukan sekadar memenuhi keperluan pengguna beragama Islam tetapi juga meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama tersebut.

“Pensijilan halal amat penting bagi kami kerana ia mencerminkan tanggungjawab dalam membekalkan makanan yang boleh dinikmati semua pelanggan, khususnya yang beragama Islam, tanpa keraguan dari segi hukum syarak.

“Malah, pelanggan bukan Islam juga semakin memberi keutamaan kepada standard kebersihan dan kualiti yang dijamin melalui sijil halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, proses mendapatkan sijil halal memerlukan pematuhan ketat terhadap piawaian yang ditetapkan Jakim, termasuk memastikan setiap bahan mentah yang digunakan berstatus halal serta menjalankan pemeriksaan berkala terhadap pembekal.

“Selain itu, kami juga perlu memastikan setiap peralatan, prosedur pemprosesan, kebersihan premis serta polisi penarikan balik produk (product recall policy) dipatuhi secara teliti.

“Ini termasuk hanya mendapatkan bahan mentah daripada pembekal yang memiliki sijil halal sah dan telah melalui audit ketat Jakim,” jelasnya.

Mengulas mengenai perkembangan jenama itu, Khairul berkata, sijil halal telah membuka lebih banyak peluang perniagaan, termasuk kerjasama dengan rangkaian kedai serbaneka seperti Emart24 dan Mydin bagi membekalkan produk roti Haruka Bakery.

Selain itu, Haruka Bakery kini sedang dalam peringkat akhir rundingan untuk menjalinkan kerjasama dengan sebuah jenama restoran berkonsepkan kopi bagi membekalkan roti dan kek ke rangkaian kafe mereka.

“Dengan lebih lapan tahun pengalaman dalam industri, kami kini lebih bersedia untuk menembusi pasaran luar negara dengan membuka cawangan Haruka Bakery di peringkat antarabangsa.

“Kami juga mula memperkenalkan produk berasaskan bis­kut yang sedia dipasarkan di dalam dan luar negara,” katanya.

Haruka Bakery membawa konsep kedai roti kejiranan dengan slogan ‘Bakery Crafted With Love’, menawarkan produk bakeri berinspirasikan konsep Jepun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN