Perdadangan Malaysia naik 3.1% pada Januari

Perdadangan Malaysia naik 3.1% pada Januari

PELABUHAN Klang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia bermula kukuh pada Januari 2025 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-13 bulan berturut-turut, naik 3.1 peratus kepada RM241.95 bilion berbanding Januari 2024. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport mengembang empat bulan berturut-turut, meningkat 0.3 peratus kepada RM122.79 bilion dan import naik 6.2 peratus kepada RM119.16 bilion. 

Katanya, ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM3.63 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-57 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

“Prestasi eksport pada Januari 2025 ini telah disokong oleh pertumbuhan kukuh sektor utama, khasnya perkilangan dan pertanian. 

“Tahun ini bermula dengan prestasi memberangsangkan dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang merekodkan kenaikan hampir RM7 bilion,” katanya dalam kenyataan.

MITI berkata, barangan lain yang turut mencatatkan peningkatan eksport termasuklah minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Dari segi pasaran, MITI berkata, eksport ke Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan telah merekodkan pertumbuhan dua digit pada Januari 2025, disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).

“Mengikut pengumuman terkini oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dicatat kukuh, dengan peningkatan ketara sebanyak 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun 2023.

“Menurut BNM, pertumbuhan KDNK tahun 2024 ini disumbangkan antaranya oleh peningkatan 12.3 peratus dalam pelaburan swasta, dan 8.5 peratus peningkatan dalam eksport,” ujarnya.

Berikutan itu, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus komited untuk memacu pertumbuhan eksport melalui pengukuhan hubungan dengan rakan dagang utama, meneroka pasaran baharu dan memberi sokongan yang diperlukan kepada pengeksport Malaysia.

“Ini untuk mengekalkan daya tahan dan kejayaan jangka panjang yang mampan,”  jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN