PEMBANGUNAN mampan menjadi tarikan utama Malaysia dalam usaha mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Pembangunan infrastruktur hijau di Malaysia menjadi keutamaan dalam mencapai ekonomi mampan, sejajar dengan komitmen negara terhadap matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Infrastruktur hijau memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mesra alam, melibatkan kaedah yang memanfaatkan kecekapan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran serta memulihara biodiversiti.
Namun, sejauh manakah negara bersedia dengan Pelan Ekonomi Hijau yang terdapat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)?
Antara sumber pembiayaan dan inisiatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau ialah Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion dan dana pembiayaan oleh institusi kewangan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, Malaysia masih lagi dalam peringkat permulaan untuk peka dan sama-sama menggembleng tenaga untuk melaksanakan Pelan Ekonomi Hijau ini.
“Meskipun masih di peringkat awal, namun usaha ke arah itu sudah semakin ketara yang mana banyak insentif-insentif galakan telah diberikan oleh kerajaan contohnya peruntukan kewangan untuk kenderaan elektrik, tenaga solar dan juga pemeliharaan alam sekitar secara komprehensif.
“Dalam Belanjawan 2024 misalnya terdapat insentif hijau ini contohnya, Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) diberikan kepada syarikat yang membeli alatan yang bercirikan teknologi hijau dan 100 peratus pengecualian cukai diberikan kepada syarikat yang berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak insentif cukai untuk diberikan kepada syarikat dan juga individu yang menyokong teknologi hijau ini.
“Kesedaran dan kempen memulihara alam sekitar juga perlu dipertingkatkan khususnya di peringkat sekolah menengah agar mampu memupuk sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar yang lebih bermakna,” katanya.
Tambah Mohd. Rizal, untuk memperkasakan ekonomi hijau kerajaan perlu juga membuat perbandingan dengan negara-negara maju seperti Norway dan Finland yang mana mereka merupakan negara yang sangat cakna dengan pemuliharaan alam sekitar melalui pelaksanaan cukai hijau mereka.
“Kerajaan perlu juga diperluaskan skopnya kepada teknologi hijau di rumah kediaman-pengguna tenaga solar yang lebih meluas di rumah-rumah kediaman perlu direndahkan kos supaya rakyat lebih mampu untuk menggunakan tenaga solar berbanding tenaga elektrik,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, ekonomi hijau merupakan langkah strategik kerajaan untuk menuju ke arah pembangunan mampan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi rendah karbon untuk penggunaan teknologi hijau dan tenaga yang boleh diperbaharui.
Katanya, dari sudut komitmen kerajaan boleh dikaitkan dengan dasar yang relevan dengan usaha ini peluncuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai pelengkap kepada Dasar Tenaga Negara yang sedia ada.
“Perancangan jangka panjang yang boleh memberi signifikasi ke arah aspirasi negara kita menuju ke arah karbon sifar bersih pada 2050.
“Oleh itu, bagi mencapai sasaran itu kita perlu cepat untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, kecekapan menggunakan tenaga dan inovasi hijau juga perlu ada,” katanya.
Umi Hamidaton turut mencadangkan inovasi hijau melibatkan peranan pelbagai pihak dan industri untuk mengadaptasi teknologi hijau dalam operasi perniagaan.
“Ini juga dapat memperkasakan teknologi dan inovasi kitar semula, penghasilan produk mesra alam dan terdapat pilihan kepada pengguna untuk memilih produk yang lestari.
“Selain itu, di peringkat organisasi boleh memberi subsidi dan insentif kepada amalan hijau yang dilaksanakan.
“Secara langsung boleh jadi penjanaan kepada sektor tertentu untuk menyokong penggunaan teknologi hijau,” katanya.-UTUSAN








