PETALING JAYA: Alipay mencatatkan peningkatan ketara dalam perbelanjaan pelancongan keluar dan masuk China semasa Tahun Baharu Cina 2025, dengan Malaysia tersenarai antara destinasi pilihan utama pelancong China dengan catatan kedudukan lima kadar pertumbuhan tertinggi dalam jumlah perbelanjaan Alipay.
Platform terbuka untuk pembayaran dan perkhidmatan digital dari China itu berkata, peningkatan ini didorong oleh pusat beli-belah di Malaysia yang menawarkan diskaun khas untuk pembayaran melalui Alipay bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong China.
Tambahnya, ia turut dipacu oleh dasar pengecualian visa bersama yang baru diumumkan oleh Malaysia dan China.
“Destinasi pengecualian visa dan pelancongan jarak jauh catat peningkatan dalam perbelanjaan Alipay, manakala pelancong China cenderung mencari pengalaman tempatan
“Menerusi penyelesaian pembayaran mudah alih rentas sempadan dan pendigitalan Alipay+, pelancong China serta pengguna 35 dompet digital lain di Asia dan Eropah boleh menggunakan aplikasi pembayaran negara asal mereka di 66 pasaran tanpa perlu menukar mata wang asing atau membawa wang tunai.
“Para pedagang global Alipay+ turut serta dalam kempen eksklusif Tahun Baharu Cina Alipay bagi menarik pelancong sempena cuti kebangsaan terpanjang China,” katanya dalam kenyataan.
Alipay berkata, dari 28 hingga 30 Januari, jumlah transaksi oleh pengguna Alipay di destinasi luar negara meningkat sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jelasnya, dasar visa yang lebih mesra di destinasi-destinasi utama membawa impak yang ketara dan diSingapura, jumlah perbelanjaan Alipay meningkat sebanyak 56 peratus tahun ke tahun dengan Garden City dinobatkan sebagai destinasi paling popular.
“Jepun turut muncul sebagai destinasi pilihan dengan peningkatan jumlah perbelanjaan Alipay sebanyak 40 peratus, didorong oleh dasar visa yang lebih longgar dan kelemahan nilai mata wang yen.
“Malaysia, Hong Kong dan Korea Selatan turut tersenarai dalam lima destinasi pilihan utama,” ujarnya.-UTUSAN










