Lebihan akaun semasa negara dijangka meningkat tahun ini - Utusan Malaysia

Lebihan akaun semasa negara dijangka meningkat tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebihan akaun semasa (CA) negara dijangka berkembang kepada 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, berbanding 1.7 peratus pada 2024, dipacu oleh eksport yang terus kukuh serta kebangkitan semula sektor pelancongan.

Menurut Kenanga Investment Research (KIB), peningkatan daripada 1.7 peratus yang dicatatkan tahun lepas itu adalah seiring dengan eksport terus mengatasi import meskipun berdepan ancaman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Selain itu, hasil pelancongan yang kukuh mungkin akan mendorong akaun perkhidmatan ke arah lebihan.

“Kitaran pemulihan teknologi global dan permintaan berterusan terhadap produk berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) akan menyokong prospek positif bagi industri berorientasikan eksport Malaysia,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, CIMB Securities juga menjangkakan lebihan CA negara akan terus pulih, malah pada kadar yang lebih tinggi kepada RM41.3 bilion atau dua peratus daripada KDNK pada 2025 dengan pemulihan perdagangan global dan kitaran pemulihan teknologi diramal terus menyokong eksport barangan elektrik dan elektronik.

Dalam nota berasingan, ia turut menyatakan ketibaan pelancong yang kukuh serta peningkatan hasil perjalanan akan mengukuhkan akaun perkhidmatan.

“Lebihan CA melonjak kepada RM11.4 bilion atau 2.3 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2024, tertinggi dalam tiga suku tahunan berbanding RM2.2 bilion (0.4 peratus daripada KDNK) pada suku sebelumnya.

“Ini didorong oleh lebihan barangan, yang meningkat kepada RM37.4 bilion, tertinggi dalam tujuh suku tahunan, disokong oleh kenaikan eksport sebanyak 1.7 peratus suku ke suku serta penurunan import sebanyak 3.5 peratus suku ke suku.

“Defisit akaun perkhidmatan juga mengecil ke tahap terendah sejak suku ketiga 2011, kepada -RM0.1 bilion daripada -RM1.6 bilion pada suku ketiga 2024.

“Sebahagian besarnya disebabkan pengurangan defisit bayaran harta intelek (-RM1.9 bilion; suku ketiga 2024 -RM3.0 bilion) serta lebihan akaun perjalanan yang stabil (RM11.2 bilion; suku ketiga 2024: RM11.0 bilion), mencerminkan perbelanjaan pelancong yang lebih kukuh,” katanya.

Pemulihan sektor pelancongan itu memainkan peranan utama dalam lebihan CA Malaysia dan membantu mengimbangi defisit yang semakin melebar dalam akaun pendapatan primer dan sekunder.

Defisit pendapatan primer meningkat kepada RM20.2 bilion dalam suku keempat 2024 daripada RM17 bilion pada suku ketiga 2024, disebabkan oleh peningkatan penghantaran pulang pendapatan pelaburan oleh pelabur asing ke negara asal mereka.

Sementara itu, defisit pendapatan sekunder meningkat kepada RM5.7 bilion dalam suku keempat 2024 daripada RM2.4 bilion pada suku ketiga 2024, berikutan peningkatan pemindahan wang oleh pekerja asing di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya