PETALING JAYA: Jualan kenderaan berharga RM150,000 ke bawah dijangka mendapat lonjakan daripada kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa bulan ini serta pelarasan gaji penjawat awam yang berlaku pada Disember 2024 dan berkemungkinan menyokong jumlah volum industri (TIV) keseluruhan tahun ini.
Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) berkata, ia telah menaikkan unjuran TIV sebanyak lima peratus kepada 790,000 unit bagi tahun ini, berbanding 750,000 unit sebelum ini.
“Unjuran baharu kami bagi 2025 mengandaikan pertumbuhan pasaran massa yang berterusan, yang diimbangi oleh sebarang kelemahan dalam segmen mewah.
“Ini dengan pemangkin positif berbanding unjuran kami sebelum ini, termasuk penangguhan setahun lagi bagi dasar nilai pasaran terbuka,” katanya.
Pelaksanaan dasar nilai pasaran terbuka akan menyebabkan semakan semula ke atas duti eksais bagi kereta pemasangan tempatan.
Tahun lalu, pertumbuhan TIV sebahagian besarnya dipacu oleh Perodua, dengan jualan syarikat meningkat lapan peratus tahun ke tahun kepada 358,102 unit, manakala jualan Honda meningkat dua peratus tahun ke tahun kepada 81,699 unit.
Pengeluar automotif dari China seperti Chery dan BYD juga mengalami pertumbuhan kukuh daripada asas yang rendah.
Maybank IB berkata, segmen mewah berpotensi menghadapi cabaran daripada persaingan yang lebih berasaskan nilai, termasuk daripada kenderaan elektrik (EV) baharu yang lebih mampu milik dan menarik.
“Faktor lain yang boleh menjejaskan jualan kenderaan mewah termasuk rancangan pemotongan subsidi petrol RON95 serta cukai barang bernilai tinggi yang mungkin menjejaskan pertumbuhan dalam segmen lain.
“Kami turut menjangkakan EV dan kenderaan hibrid akan memperluaskan capaian masing-masing kepada tiga peratus dan lima peratus daripada jumlah volum keseluruhan tahun ini, berbanding dua peratus dan empat peratus tahun lalu.
“Pertumbuhan ini akan disokong oleh pelancaran model baharu serta strategi harga agresif, terutamanya daripada jenama yang menawarkan model import sepenuhnya (CBU) yang berlumba-lumba menjual sebelum insentif CBU EV sedia ada tamat.
“Sehingga Oktober tahun lalu, hanya 3,354 pengecas EV dipasang di Malaysia, jauh di bawah sasaran 10,000 unit untuk tahun ini. Untuk mencapai sasaran ini, sebanyak 554 pengecas baharu perlu dipasang setiap bulan berbanding purata sekitar 111 sebulan tahun lalu,” katanya.-UTUSAN










