Kenaikan gaji masih belum cukup untuk miliki rumah

Kenaikan gaji masih belum cukup untuk miliki rumah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOLONGAN berpendapatan ren­dah terus berdepan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri walaupun dengan peningkatan gaji minimum.

Dengan gaji asas RM1,700 sebulan, bukan sahaja bayaran deposit menjadi halangan, malah kos sara hidup yang semakin meningkat turut membebankan walaupun tangga gaji sudah ditingkatkan. 

Ramai, terutamanya golongan belia yang akhirnya terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki kediaman sendiri dan memilih untuk terus menyewa.

Pekerja swasta, Syafiq Shafiee berkata, kenaikan gaji minimum secara realiti dan objektif hanya memberi sedikit kelegaan dalam menampung perbelanjaan harian, terutamanya bagi golongan belia.  

“Ini disebabkan oleh kenaikan luar biasa harga barang dan perkhidmatan akibat ketidaktentuan ekonomi, di mana lebihan upah ini lebih cenderung digunakan untuk simpanan berbanding perbelanjaan.  

“Pada pendapat saya, golongan belia juga perlu lebih proaktif dalam menambah kemahiran diri bagi memperluaskan peluang pekerjaan sampingan, sekali gus menjana pendapatan tambahan. Lebih banyak peluang kerja bebas, lebih banyak pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.  

Jelasnya, memiliki rumah pada masa ini telah dianggap satu kemewahan dan bagi mereka yang baru bekerja, adalah lebih selamat untuk terus menyewa sehingga kedudukan kewangan benar-benar stabil.  

“Walaupun terdapat pelbagai skim pinjaman perumahan daripada bank, golongan belia perlu membuat pertimbangan yang bijak agar tidak terjerat dengan hutang yang membebankan hingga berisiko muflis pada usia muda,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nazihah Hamzah berkata, kenaikan gaji minimum, sejujurnya, masih belum mampu meringankan beban kerana tiada penyelesaian menyeluruh terhadap isu itu. 

“Sebagai contoh, di sebuah kawasan pejabat, terdapat medan selera yang dikunjungi oleh pekerja dengan pelbagai latar belakang gaji.  

“Bagi mereka yang berpendapatan lebih tinggi, hidangan bernilai RM15 untuk makan tengah hari dianggap murah, tetapi bagi mereka yang bergaji minimum RM1,700, jumlah itu terlalu mahal. 

“Ini menunjukkan bahawa peningkatan gaji minimum tidak akan pernah benar-benar setimpal sekiranya masalah kos sara hidup tidak ditangani secara menyeluruh,” katanya. 

Bagaimanapun, Nazihah berkata, walaupun harga rumah semakin meningkat, masih terdapat banyak skim perumahan yang ditawarkan kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah, seperti Program Perumahan Rakyat (PPR).  

“Berbelanja mengikut kemampuan, sedikit demi sedikit, tahun demi tahun, akhirnya anda akan mampu memiliki rumah impian yang bernilai jutaan ringgit.  

“Namun, harapan saya adalah kerajaan perlu lebih bersasar dalam merangka dasar dan menyelesaikan sesuatu isu dari akar umbi, bukan sekadar memberi solusi secara terburu-buru tanpa melihat kesannya dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar tahun akhir sarjana muda di sebuah universiti awam, Muhammad Zulhairi berkata, memiliki rumah semakin sukar bagi golongan berpendapatan rendah kerana harga rumah meningkat lebih pantas berbanding kenaikan gaji.  

“Kos hidup yang tinggi juga menyukarkan mereka untuk menyimpan deposit atau mendapatkan pinjaman perumahan.  

“Kenaikan gaji minimum memang membantu, tetapi tidak mencukupi. Walaupun gaji lebih tinggi, kenaikan harga barang dan rumah mengurangkan kesannya.  

“Tanpa kawalan terhadap harga rumah dan kos hidup, kenaikan gaji minimum hanya memberi kesan sementara,” katanya.  

Sebagai individu yang bakal memasuki alam pekerjaan, beliau berharap kerajaan dan pihak berkaitan dapat memperbanyakan rumah mampu milik, menyediakan skim pembiayaan yang lebih fleksibel serta mengawal harga rumah dan kos pembinaan agar selari dengan pendapatan rakyat.  

Beliau turut menyarankan agar lebih banyak insentif diberikan kepada golongan muda dan pembeli rumah pertama, termasuk pelepasan cukai dan subsidi pembelian rumah, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam memiliki kediaman sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN