Jumlah TIV  dijangka menurun 7% tahun ini

Jumlah TIV  dijangka menurun 7% tahun ini

KENDERAAN jenama nasional dijangka akan mengekalkan dominasi, meraih anggaran 64.5 peratus pegangan pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah volum industri (TIV) untuk jualan kenderaan baharu dijangka menurun sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun kepada 760,000 unit pada 2025, berbanding 816,674 unit pada tahun lepas, menurut CIMB Securities Sdn. Bhd..

CIMB Securities berkata, unjuran yang lebih rendah itu disebabkan oleh potensi halangan, seperti kemungkinan penghapusan subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.

“Namun, kami menjangkakan permintaan yang kukuh dalam segmen di bawah RM100,000, yang masih didominasi oleh jenama nasional dan beberapa model peringkat permulaan dari jenama Jepun,” katanya dalam nota penyelidikan.

CIMB Securities menganggarkan bahawa model di bawah RM100,000 menyumbang sekurang-kurangnya 75 peratus daripada TIV Malaysia pada 2024, dengan jenama nasional menguasai lebih 80 peratus daripada segmen ini, manakala jenama Jepun dan China membentuk baki 20 peratus.

“Kami menjangkakan permintaan ini akan kekal kukuh pada 2025, disokong oleh pembeli kereta pertama kali, kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024, dan persekitaran kadar faedah yang mesra yang dikekalkan oleh Bank Negara Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, CIMB Securities juga meramalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang relatif stabil untuk tahun ini.

Firma penyelidikan berkata, OPR yang stabil dan rancangan kerajaan untuk mengekalkan subsidi bahan api bagi 85 peratus pengguna RON95 seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025 dijangka akan mengekalkan kemampuan harga untuk segmen pasaran massa.

“Oleh itu, kami menjangkakan jenama nasional akan mengekalkan dominasi mereka, meraih anggaran 64.5 peratus pegangan pasaran, berbanding 35.5 peratus untuk jenama bukan nasional pada 2025,” katanya.

CIMB Securities mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif tempatan berikutan prospek pertumbuhan yang sederhana di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit daripada pemain-pemain China.

Firma penyelidikan berkata, pemangkin utama untuk sektor ini adalah pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun, pengurangan kadar faedah dan dasar kerajaan yang menggalakkan untuk memulihkan permintaan domestik.

“Sime Darby kekal sebagai pilihan utama sektor ini, berikutan pemerolehan UMW Holdings yang memberi kesan positif kepada pendapatan, pendedahan yang semakin berkembang terhadap sektor perlombongan Australia dan potensi pemanfaatan aset bukan teras serta tanah yang dimiliki,” tambahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN