PETALING JAYA: Harga emas mencapai paras tertinggi baharu semalam dan bersedia untuk mencatatkan kenaikan mingguan kelima berturut-turut.
Faktor utama lonjakan harga logam bernilai itu adalah disebabkan peserta pasaran bimbang terhadap ancaman tarif Amerika Syarikat (AS) sementara menantikan laporan inflasi utama untuk menilai hala tuju dasar Rizab Persekutuan (Fed).
Harga emas meningkat 1.05 mata kepada AS$2,797 (RM12,449) seauns sehingga 4.18 petang semalam.
Sebelum itu, harga mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada AS$2,799 (RM12,458).
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, harga emas kemungkinan terus meningkat tinggi sehingga penghujung 2025.
Katanya, peningkatan ini disebabkan oleh faktor dalaman dan faktor luaran.
“Bagi faktor dalaman seperti perbezaan kadar pulangan keuntungan pelaburan oleh institusi perbankan kepada pelanggan menunjukkan kadar pulangan terhadap aset emas dilihat masih tinggi jika dibandingkan dengan kadar pulangan pelaburan lain termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.
“Ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga emas bagi 2025 kerana permintaan yang dilihat semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, walaupun kadar inflasi di Malaysia agak rendah, namun pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) tentang Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada kadar 3.0 peratus turut menyumbang kepada permintaan emas serta pelaburan emas tempatan meningkat.
“Begitu juga dengan dasar fiskal atau monetari yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika ini dilihat sedikit sebanyak menyumbang kepada rangsangan permintaan kepada pasaran emas.
“Bagi faktor luaran pula, saya melihat kekuatan ringgit yang semakin mengukuh berbanding AS dan beberapa mata wang utama dunia menyumbang kepada peningkatan permintaan emas di Malaysia,” katanya.
Tambah Mohd. Faisol, sekiranya dolar AS mengukuh berbanding ringgit, ini akan menyumbang kepada peningkatan harga emas di Malaysia dan mungkin merencatkan sedikit permintaan emas di pasaran tempatan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, harga emas sentiasa terkait rapat dengan nilai dolar AS.
“Sejak kebelakangan ini nilai dolar AS merudum kerana ketidaktentuan polisi tarif dan kadar inflasi dan apabila nilai dolar AS merudum, nilai emas kebiasaannya akan meningkat kerana emas adalah alternatif pelaburan kepada dolar AS,” katanya.
Beliau mengulas, orang ramai perlu bijak mengambil peluang untuk untuk melabur emas.
“Boleh ambil peluang untuk pelaburan (emas),” katanya.-UTUSAN










