PETALING JAYA: Figura (M) Sdn. Bhd. (Figura International) melalui tiga pakar penyelidik utama terus mengorak langkah dalam menghasilkan produk kesihatan mengandungi pemanis semula jadi daripada tumbuhan herba dan buah-buahan sebagai pengganti gula.
Usaha itu selaras dengan kempen kurangkan pengambilan gula secara berlebihan yang dilaksanakan kerajaan berikutan bilangan penghidap diabetes di negara ini dilaporkan tertinggi di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hafiz Mohd Khalid berkata, produk ketujuh Stevia-C yang dilancarkan itu bakal menjadi pilihan kepada pengguna yang mementingkan penjagaan kesihatan khususnya dalam mengurangkan pengambilan gula dalam aktiviti harian mereka.
Beliau berkata, tumbuhan herba semula jadi seperti ektrak daun stevia, buah monk dan vitamin C berkhasiat dalam membantu sistem penghadaman, mengurangkan paras gula dalam darah dan sesuai untuk penyedian minuman dan makanan.
“Menurut statistik diabetes di Malaysia 2024, negara ini mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pesakit diabetes, menempatkannya di kedudukan yang membimbangkan di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia.
“Malaysia berada di kedudukan kelima tertinggi di dunia bagi peratusan penduduk dewasa yang menghidap diabetis. Jadi, kesedaran rakyat Malaysia tentang risiko pengambilan gula amat penting,” katanya di majlis Figura Leadership Convention dan Kick Off 2025 di sebuah hotel di ibu negara.
Seramai 40 usahawan Figura dari seluruh negara hadir dalam program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari. Selain merangka hala tuju Syarikat untuk tahun ini, konvensyen turut meraikan barisan pemimpin Figura yang berjaya mencapai sasaran jualan.
Mohd Hafiz optimis Stevia-C mampu mencapai sasaran jualan 10,000 unit menjelang akhir tahun ini berikutan sambutan dan peningkatan mendadak jumlah ejen tahun lalu.
Figura International adalah syarikat bumiputera pertama di Malaysia yang didokong tiga pakar penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad; Profesor Dr. Wan Aida Wan Mustapha dan Profesor Noor Hassim Ismail. – UTUSAN










