BANGI: Penyedia perkhidmatan makanan katering, Desatera Sdn. Bhd., anak syarikat kumpulan Brahim’s, menyasarkan pendapatan hampir RM160 juta bagi sektor ketenteraan dan komersial tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Desatera, Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi berkata, pihaknya mensasarkan hampir RM120 juta bagi sektor ketenteraan manakala, hampir RM40 juta bagi sektor komersial.
Menurutnya, Desatera yang mula beroperasi pada tahun 1999 dengan kontrak penswastaan rumah masak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini telah mengembangkan operasi ke sektor komersial sejak 2018.
“Desatera kini mengendalikan 70 rumah masak tentera di lima negeri selain lapan lokasi komersial termasuk kilang Proton di Tanjung Malim, Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta beberapa kafe seperti di Arab Malaysian Bank dan Hospital Pediatrik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pratonton bufet Nostalgia Ramadan di Randau Rasa oleh Dapur Brahim’s.
Mengulas mengenai cabaran dalam operasi syarikat, beliau menekankan isu tenaga kerja adalah faktor utama kerana Desatera mengekalkan konsep pengambilan 100 peratus tenaga kerja tempatan tanpa menggunakan pekerja asing.
“Cabaran terbesar kami adalah kadar keluar masuk pekerja yang tinggi, terutama dalam kalangan golongan muda yang cepat beralih kerja. Kami tetap kekal dengan prinsip untuk menggunakan tenaga kerja rakyat Malaysia sepenuhnya,” katanya.
Selain itu, kenaikan harga bahan mentah dan pelaksanaan gaji minimum turut memberi kesan kepada operasi, namun Desatera mengambil pendekatan mengawal kos tanpa menaikkan harga perkhidmatan.
Feizal berkata, antara langkah yang diambil bagi mengekalkan harga yang kompetitif ialah dengan menjalankan aktiviti pertanian sendiri bagi membekalkan bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Kami mempunyai tanah di Gemas, Johor yang digunakan untuk menanam sendiri sayur-sayuran bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar. Ini membantu kami mengawal kos dan menawarkan harga makanan yang lebih berpatutan kepada pelanggan.
“Dalam pada itu, Desatera kini dalam perancangan untuk memperluaskan lagi operasi di sektor komersial, selain mengekalkan kedudukan sebagai penyedia utama perkhidmatan makanan kepada ATM.
“Kami yakin dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri ini, Desatera optimis mampu bersaing dengan pemain baharu di pasaran sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai jenama tempatan yang kompetitif,” katanya.-UTUSAN










