Dasar fiskal, monetari pacu pertumbuhan KDNK 2025

Dasar fiskal, monetari pacu pertumbuhan KDNK 2025

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dasar fiskal yang berkembang dan keadaan monetari yang menyokong membolehkan ekonomi negara kekal kukuh sekali gus menjadi asas untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025, menurut penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertumbuhan suku keempat 2024 pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding dengan anggaran awal, mencadangkan bahawa ekonomi Malaysia kekal kukuh.

“Kedua-dua pemacu pertumbuhan, permintaan domestik dan sektor luar negara, telah memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan keseluruhan.

“Malah, BNM telah melaksanakan tugas dengan baik berhubung inflasi kerana kadar inflasi Malaysia terus mencatatkan penurunan daripada 3.3 peratus pada 2022 kepada 2.5 peratus pada 2023, manakala 1.8 peratus pada 2024 apabila bank pusat menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 1.75 peratus kepada 3.0 peratus antara 2022 dan 2023.

“Oleh itu, BNM telah menunjukkan kredibiliti mereka dalam mengawal kadar inflasi ke arah trajektori yang lebih mampan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain itu, jelasnya, usaha kerajaan persekutuan terhadap reformasi ekonomi adalah sangat dihargai melalui pengenalan cukai baharu, peningkatan beberapa kadar cukai dan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Semua ini akan membuka lebih banyak ruang fiskal yang boleh diarahkan untuk pembangunan kapasiti seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur yang akhirnya akan meningkatkan produktiviti Malaysia dan potensi pertumbuhan KDNK,” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, keadaan pasaran buruh yang stabil, kemasukan pelancong asing, pelaksanaan projek infrastruktur serta pertumbuhan eksport bersih yang lebih tinggi adalah antara beberapa aspek utama yang menyokong ekonomi Malaysia.

Sementara itu, Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pertumbuhan KDNK pada suku keempat 2024, walaupun mencatat penurunan sebanyak 0.4 peratus tetap didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, terutamanya melalui perbelanjaan isi rumah dan pelaburan berterusan.

“Ia juga disokong oleh faktor luaran di mana pemulihan eksport negara dipacu oleh keadaan ekonomi global yang stabil. Peningkatan ketibaan pelancong asing turut menyumbang kepada pertumbuhan KDNK,” katanya.

Beliau menjelaskan, KDNK akan kekal dengan momentum yang sama sekiranya keadaan ekonomi semasa dalam dan luar negara stabil, permintaan dalam negara kuasa beli rakyat meningkat serta meningkatkan pelaburan dalam sektor utama (infrastruktur dan teknologi).

“Ini termasuk meningkatkan eksport dan harga komoditi dapat dikawal serta meningkatkan pelancong asing kedalam negara dan mengurangkan pengalirann wang keluar negara.

“Oleh itu, kerajaan perlu menggalakkan rakyat berbelanja dalam negara dan mempromosikan produk tempatan,” katanya.

Nik Maheran berkata, pada 2025, beliau menjangkakan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus.

Pada 14 Februari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus tahun lalu berbanding 3.6 peratus pada 2023, disokong permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan pemulihan eksport.

Bank pusat itu berkata, pertumbuhan dalam negeri didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih mantap, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah-langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh.

Selain itu, kelulusan pelaburan yang mantap serta projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta, termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional (Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional), memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan pelaburan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN