SHAH ALAM: Penyedia perkhidmatan penggantian bateri kereta secara ‘on-demand’, Bateriku.com bekerjasama dengan penyedia teknologi mobiliti pintar dan kesalinghubungan kenderaan Malaysia, ACO Tech yang juga syarikat subsidiari teknologi untuk Proton.
Kerjasama tersebut mewujudkan integrasi digital pertama di Malaysia antara penyedia teknologi Pengilang Asal Produk (OEM) automotif dan penyedia perkhidmatan bantuan kecemasan jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi berkata, kenderaan yang dilengkapi dengan sistem ATLAS Infotainment Head Unit (IHU) daripada ACO Tech, menawarkan penyelesaian bantuan kecemasan jalan raya 24 jam di seluruh negara seperti ‘jumpstart’, tampalan dan penukaran tayar, pengisian petrol, bantuan kunci kereta, perkhidmatan tunda secara langsung dari IHU tersebut.
Menurutnya, integrasi sistem tersebut akan turut memanfaatkan ekosistem Bateriku.com yang luas untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan berpusat kepada pelanggan.
“Ciri ATLASAssist 24/7 oleh Bateriku.com akan diaktifkan segera dalam kenderaan terpilih yang dilengkapi dengan ATLAS IHU, dengan liputan dijangka meningkat secara berperingkat melalui kemas kini sistem terbabit.
“Sistem kenderaan canggih yang dihubung kepada perkhidmatan ‘on-demand’ antara Bateriku.com dan ACO Tech secara tidak langsung menetapkan standard baharu dalam kemudahan dan keselamatan pemilik kenderaan, khususnya jenama PROTON,” katanya pada sidang akhbar pengumuman kerjasama kedua pihak di ibu negara, baru-baru ini.
Azarol berkata, pemilik kenderaan kini boleh menikmati ketenangan fikiran dan kecekapan operasi melalui perkhidmatan Bateriku.com, sekali gus menonjolkan reputasi syarikat sebagai perintis dalam penyelesaian bantuan kecemasan.
“Ciri pintar ini, yang direka, dibangunkan, dan dilancarkan melalui kerjasama sinergi antara Bateriku.com dan ACO Tech, dijangka menjadi penanda aras industri dalam meningkatkan penerimaan penyelesaian mobiliti pintar di Malaysia dan merupakan berita baik kepada OEM yang lain.
“Dengan ciri ini, pemilik kenderaan model yang disokong dapat memandu dengan tenang kerana sebarang masalah atau kerosakan dapat diselesaikan dengan segera melalui sambungan ke Bateriku.com terus dari kereta mereka,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama secara proaktif dengan rakan tempatan untuk meningkatkan pengalaman mobiliti pengguna dengan menyediakan penyelesaian tambahan yang praktikal dan boleh dipercayai.
“Integrasi ATLASAssist 24/7 oleh Bateriku.com berpotensi merevolusikan perkhidmatan bantuan kecemasan dengan menyediakan penyelesaian yang bersambung secara langsung kepada pemilik kenderaan pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya. – UTUSAN










