75,000 PKS dapat manfaat SJPP lebih RM102 bilion 

75,000 PKS dapat manfaat SJPP lebih RM102 bilion 

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 75,000 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat manfaat Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dengan pembiayaan melebihi RM102 bilion sejak penubuhannya pada April 2009 sehingga Disember 2024. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada 2024, lebih 14,000 PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion. 

Katanya, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula, telah meluluskan jaminan kepada lebih daripada 76,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM17.8 bilion sejak penubuhannya pada akhir 2007 sehingga Disember 2024. 

“Pada 2024, peruntukan skim dibawah SJKP Berhad ini telah memanfaatkan lebih daripada 36,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM9.7 billion berjaya diluluskan,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 Peruntukan SJPP pembiayaan perniagaan dan SJKP di sini. 

Menurutnya, dalam Belanjawan 2025, kerajaan Madani memperuntukkan sebanyak RM20 bilion kepada SJPP untuk pembiayaan PKS dan dijangka menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan usahawan PKS, khususnya yang terlibat dalam sektor tumpuan seperti halal, teknologi tinggi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pelancongan.

Ujarnya, sejumlah RM5 bilion daripada RM20 bilion jaminan di bawah SJPP akan dikhususkan untuk syarikat bumiputera.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa komuniti perniagaan bumiputera dan memberikan mereka peluang yang adil untuk berkembang dalam pelbagai sektor ekonomi bagi meningkatkan kebolehpasaran produk dan daya saing syarikat bumiputera di peringkat domestik dan global.

“Pemerkasaan bumiputera kekal sebagai fokus utama memastikan penyertaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang saksama dalam kalangan komuniti bumiputera. 

“Ini merangkumi inisiatif membangunkan keusahawanan, meningkatkan akses kepada pembiayaan dan memperkukuh kehadiran bumiputera dalam industri bernilai tinggi,” katanya. 

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan sedang memperluas ekosistem halal merangkumi makanan, farmaseutikal, kosmetik dan kewangan Islam bagi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global. 

Jelasnya, pelaburan dalam pensijilan halal, penyelidikan dan kerjasama perdagangan turut mempertingkatkan daya saing negara dalam industri bernilai trilion ringgit ini.

“Teknologi dan transformasi digital dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), automasi, keselamatan siber dan ekonomi digital adalah elemen penting dalam kemajuan ekonomi negara.

“Kerajaan sedang mempercepatkan inisiatif seperti infrastruktur 5G, bandar pintar dan Revolusi Industri 4.0 untuk memacu inovasi serta menarik pelaburan teknologi tinggi, selain menyediakan sokongan kepada syarikat pemula niaga (startup), keusahawanan digital dan peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi keperluan masa depan,” katanya. 

Pada masa yang sama kerajaan turut prihatin terhadap cabaran pembiayaan perumahan yang dihadapi oleh golongan tanpa pendapatan tetap untuk memiliki rumah pertama. 

“Mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai bekerja dalam sektor informal dan menjadi pekerja gig, kerajaan meningkatkan SJKP dibawa SJKP Berhad dengan jaminan tambahan sebanyak RM10 bilion pada 2025 dan bakal memanfaatkan lebih 20,000 peminjam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN