TVET bina kemahiran jadi usahawan, berdaya tahan

TVET bina kemahiran jadi usahawan, berdaya tahan

TVET membolehkan graduan menguasai pengetahuan dan kemahiran teknikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk membina kemahiran bukan sahaja untuk kerja tetapi menjadi usahawan, kata Presiden Kongres Persa­tuan Akademik Malaysia (MAAC).

Prof Dr. Ahmad Ismail berkata, negara memerlukan tenaga berkemahiran tinggi dan separuh mahir.

Jelasnya, institusi TVET mesti menyediakan program untuk keperluan teknikal masa hadapan.

“Malaysian Technical University Network (MTUN) terutamanya mesti me­l­ihat keperluan ma­sa hadapan bidang kejuru­teraan, elektronik, me­kanikal dan bioteknologi

“Dalam pada itu, bakat separuh mahir boleh bekerja di sektor yang sesuai dan peluang menjadi usahawan memberikan perkhidmatan teknikal kepada masyarakat dan industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Bagaimanapun, jelas beliau, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mesti mengetahui keperluan dan mendapatkan nasihat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk merancang pembangunan bakat.

“Bahagian yang terlibat dengan pendidikan TVET mesti faham hala tuju TVET negara, berbincang bersama dan buat strategi dan tindakan bersepadu untuk mencapai matlamat 

“Hal ini kerana, persaingan dunia semakin hebat dan cepat. Masa  sudah suntuk,” katanya. 

Sementara itu, seorang graduan TVET, Md. Firuz Mohd. Nasir 39 berkata, sebagai pelajar yang kurang menyerlah dalam bidang akademik, dia melihat TVET sebagai satu daripada bentuk pembelajaran hands on yang fokus pada kemahiran tangan sebagai satu daripada medium untuk mendapat kefahaman dalam sesuatu tugasan yang diberikan.

Dia yang merupakan jurutera analisis kegagalan di Wiwynn Technology Service Malaysia berkata, melalui proses pembelajaran secara hands on berulang kali, ia membentuk daya tangkap yang baik di dalam minda dan memupuk semangat belajar yang di panggil battle proven iaitu setiap ilmu yang dipelajari harus di praktis semula supaya pemahaman terhadap sesuatu ilmu dikuasai. 

“Kelebihan TVET termasuk kemahiran praktikal yang diperoleh oleh graduan TVET, yang membolehkan mereka menguasai pengetahuan dan kemahiran teknikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik. 

“Selain itu, TVET juga merangkumi pelbagai peringkat pengajian, termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM tahap 1,2,3), Diploma Kemahiran dan Ijazah Teknologi Kejuruteraan. Ini memberikan peluang untuk graduan TVET untuk memilih bidang karier yang sesuai dengan tahap kemahiran dan kebolehan mereka,” katanya. 

Md. Firuz sebelum ini melanjutkan pelajaran di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam bidang Sijil Kejuruteraan Mekanikal dan selanjutnya menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak.

Oleh itu, jelasnya, sebagai seorang jurutera analisis kegagalan, mencari punca kepada permasalahan yang berlaku pada produk perlu dihentikan supaya tidak mengganggu proses pembuatan dan menepati piawaian kualiti yang telah ditetapkan pelanggan.

“Bidang TVET juga turut mengajar sifat daya tahan dalam diri seseorang kerana ia memerlukan masa serta kesabaran untuk menjadi orang yang mahir dan berpengalaman. Segala ilmu kemahiran yang dipelajari di pusat kemahiran harus di praktik semula supaya dapat prinsip kerja ilmu tersebut dalam menyelesaikan masalah di tempat kerja,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN