MUKADIMAH
Di sebalik kesibukan ibu bapa mencari rezeki, ada satu realiti yang semakin membimbangkan anak-anak mereka dihantar ke pusat jagaan yang tidak terjamin keselamatannya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, media sering melaporkan kes-kes jenayah dan insiden yang melibatkan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar.
Malangnya, ramai ibu bapa di Malaysia terpaksa memilih pusat jagaan tanpa jaminan keselamatan kerana kekangan kewangan. Mereka terpaksa menanggung risiko ini kerana tiada pilihan lain.
Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu ramah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kiddocare, NADIRA YUSOFF untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan topik ini.
UTUSAN: Apakah yang dimaksudkan dengan ekonomi penjagaan (care economy) dan mengapa sektor ini sering diabaikan dalam perbincangan dasar ekonomi?
NADIRA: Ekonomi penjagaan merujuk kepada aktiviti yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan penting untuk menyokong kesejahteraan individu, termasuk penjagaan anak, penjagaan warga emas dan perkhidmatan lain yang penting untuk menyokong kehidupan masyarakat.
Di Malaysia, sektor ini sering dilihat sebagai tanggungjawab individu, terutamanya bagi kaum wanita dan jarang diberikan perhatian yang setara dengan sektor ekonomi lain.
Situasi yang dilihat juga mendedahkan kelemahan yang ketara dalam ekonomi penjagaan atau care economy, satu sektor yang sering kali diabaikan atau kurang diberi perhatian dalam perbincangan dasar ekonomi dan sosial.
Walaupun sektor ini memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan keluarga dan masyarakat, serta menyokong perkembangan kanak-kanak dan golongan yang memerlukan, ia sering kali tidak mendapat sokongan yang sewajarnya.
Kekurangan pelaburan dan pengiktirafan terhadap sektor penjagaan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti perkhidmatan yang disediakan, sekali gus menambah beban kepada keluarga, terutamanya mereka yang berada dalam golongan B40 dan M40.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan yang lebih serius terhadap ekonomi penjagaan, dengan mengambil langkah-langkah strategik untuk memperkukuh dan menyokong sektor ini sebagai satu agenda utama dalam pembangunan negara.
Apakah faktor utama yang menyebabkan rendahnya penyertaan wanita dalam pasaran buruh di Malaysia, berdasarkan kajian mengenai kekurangan penjagaan anak yang berkualiti dan mampu milik?
Kajian menunjukkan bahawa kekurangan penjagaan anak yang berkualiti dan mampu milik di Malaysia menjadi antara faktor utama menyebabkan rendahnya penyertaan wanita dalam pasaran buruh, dengan kadar penyertaan hanya mencapai 55 peratus.
Namun, hakikatnya, ekonomi penjagaan bukan sahaja penting dari segi sosial tetapi juga ekonomi.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2023, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan sebanyak 9.13 juta, iaitu hampir 28 peratus daripada keseluruhan populasi di Malaysia.
Dengan jumlah yang signifikan ini, keperluan untuk perkhidmatan penjagaan anak yang berkualiti dan selamat adalah amat mendesak.
Malangnya, kekurangan pelaburan dalam sektor penjagaan, termasuk pusat jagaan kanak-kanak berkualiti tinggi yang mampu milik, menyebabkan ramai wanita, terutamanya dari golongan B40 dan M40, terpaksa memilih di antara pekerjaan atau menjaga anak sendiri di rumah.
Boleh puan kongsikan bagaimana pula dengan statistik kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak?
Statistik menunjukkan peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, yang amat membimbangkan, kerana ia mencerminkan satu masalah sosial yang semakin serius.
Peningkatan kes ini menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, yang sepatutnya dilindungi dan dijaga dengan baik dalam persekitaran yang selamat dan sihat.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan sebanyak 2,240 kes penderaan dan pengabaian melibatkan kanak-kanak pada lapan bulan pertama 2024.
Angka ini menekankan betapa pentingnya untuk memastikan bahawa pusat dan khidmat jagaan kanak-kanak yang dipilih adalah berdaftar dan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Apakah inisiatif yang boleh di ambil untuk menangani isu-isu seperti penderaan dan pengabaian kanak-kanak serta memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan yang sewajarnya?
Pada peringkat antarabangsa, beberapa negara telah berjaya melaksanakan inisiatif dalam memperkukuhkan ekonomi penjagaan.
Di Jordan, kerajaan memperkenalkan Dasar Penjagaan Kanak-Kanak Kebangsaan pertama untuk menangani halangan terhadap penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik. Dasar ini bertujuan meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Di Malaysia pula, inisiatif seperti kerjasama Kiddocare dan UN Women dalam menganjurkan Forum Ekonomi Penjagaan Asia-Pasifik, yang memacu kolaborasi dan pelaburan dalam sektor penjagaan, menekankan kepentingan penjagaan anak yang berkualiti dan selamat.
Menurut kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), setiap ringgit yang dilaburkan dalam sektor penjagaan awal kanak-kanak, terdapat pulangan sehingga AS$12 (kira-kira RM53.37) dalam faedah ekonomi.
Pelaburan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti tenaga kerja dengan membolehkan lebih ramai ibu bapa, terutamanya wanita kembali bekerja, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor penjagaan, seperti pendidik kanak-kanak dan pengurus pusat jagaan.
Melalui advokasi ini, seruan dibuat untuk pembentukan ekosistem penjagaan yang lebih mampan, yang bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan perkhidmatan, tetapi juga menonjolkan kepentingan sektor penjagaan dalam menyokong kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.
Apakah manfaat pelaburan dalam sektor penjagaan bagi keluarga dan ekonomi negara, serta bagaimana ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan kanak-kanak dan masyarakat?
Pelaburan dalam sektor penjagaan bukan sahaja mengurangkan beban keluarga tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Reformasi dan pelaburan dalam ekonomi penjagaan adalah kunci untuk menangani cabaran ini.
Dengan memastikan pusat dan khidmat jagaan kanak-kanak berdaftar dan memenuhi piawaian keselamatan, kerajaan dapat menjamin kesejahteraan kanak-kanak serta ketenangan mental dan emosi ibu bapa, di samping mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor penjagaan.
Jika diberi perhatian sewajarnya, ekonomi penjagaan dapat meringankan beban keluarga, terutamanya golongan B40 dan M40, sambil membina ekosistem penjagaan yang inklusif dan selamat untuk generasi muda Malaysia. – UTUSAN










