Sekatan baharu AS ke atas eksport cip tidak jejas pusat data

Sekatan baharu AS ke atas eksport cip tidak jejas pusat data

LIEW Chin Tong (tengah) pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah di Hotel Le Meridien Petaling Jaya, di sini, semalam.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI) tidak akan menjejaskan pusat data sedia ada atau yang sedang dibina, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, bagaimanapun, beliau tidak mengetahui sekiranya terdapat sebarang kesan pada masa hadapan. 

“Sebarang kesan yang akan berlaku, kita belum tahu namun, kita akan tunggu dan lihat. 

“Oleh itu, kami akan terlibat dengan kerajaan dan pemerintah AS untuk mengetahui peraturan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah anjuran Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) di sini. 

Mengulas lanjut, jelas beliau, Malaysia akan berada bersama dengan negara-negara lain dalam Tahap 2 dan mempunyai cara untuk mengatasi masalah itu. 

“Kami akan menunggu peluang untuk berhubung dengan pemerintahan AS yang baharu,” katanya. 

Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sebanyak 85 peratus negara berada dalam kategori Tahap 2, yang bukan paling terbuka dan juga bukan yang paling ketat.

Laporan itu mengatakan di bawah sekatan baharu, syarikat yang berpangkalan di AS boleh memohon kebenaran menyeluruh untuk membekalkan cip kepada kalangan pusat data di seluruh dunia, selagi tidak lebih daripada 25 peratus daripada jumlah kuasa pengkomputeran mereka berada di luar negara Tahap 1 dan tidak lebih daripada 7.0 peratus berada di mana-mana negara Tahap 2.

Pada majlis yang sama, Chin Tong dalam ucapannya berkata, taman perindustrian di Malaysia kini telah menjadi terlalu fokus kepada satu perniagaan hartanah yang tidak memberi manfaat kepada negara. 

Jelas beliau, seiring dengan pemindahan rantaian bekalan global dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jelas bahawa pelabur memilih Malaysia bukan kerana negara mempunyai banyak taman perindustrian, tetapi kerana mempunyai ekosistem yang kukuh.

“Bagi kepentingan pelabur dan juga untuk Malaysia, kita kini perlu memastikan kemunculan hubungan yang kukuh di peringkat domestik.

“Oleh itu, taman perindustrian sepatutnya bukan hanya tentang permainan hartanah, tetapi tentang membina rantaian bekalan dan ekosistem.

“Apabila membina taman perindustrian, kita mesti mengubah pemikiran yang memisahkan tempat kerja daripada tempat tinggal atau kediaman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN