Oriental Kopi kembangkan rangkaian menjelang 2026

Oriental Kopi kembangkan rangkaian menjelang 2026

ORIENTAL Kopi membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 75 sen sesaham baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi) akan memperluaskan rangkaian kafe di pelbagai negeri di Malaysia dengan penubuhan 14 kafe milik syarikat secara berperingkat antara 2025 dan 2026. 

Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, kafe-kafe itu akan dibuka di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Pahang, Sabah, dan Sarawak. 

“Syarikat akan menggunakan rangkaian peruncit untuk mencapai kawasan yang kurang diwakili dan membuka empat kedai runcit khusus baharu antara 2025 dan 2026.

“Kami juga bercadang untuk mengembangkan jenama makanan berbungkus dengan melancarkan rangkaian baharu makanan dan minuman berbungkus Oriental Kopi,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Pada Khamis lalu, Oriental Kopi membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 75 sen sesaham, premium 70.45 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 44 sen sesaham, dengan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 65.58 juta saham.

Menurutnya, syarikat merancang untuk menubuhkan kemudahan operasi baharu yang terdiri daripada ibu pejabat, dapur berpusat dan gudang dengan anggaran keluasan binaan sebanyak 108,448 kaki persegi. 

“Ini akan menjadi kemudahan tiga tingkat yang dapat menyokong operasi syarikat dengan lebih efisien.

“Dapur berpusat kami juga akan menampung aktiviti penyelidikan dan pembagunan (R&D) untuk operasi rangkaian kafe kami dan makanan berbungkus jenama kami. 

“Penyusunan kemudahan da­pur berpusat baharu dijangka siap pada suku keempat 2026. Begitu juga, pasukan pencipta menu kami akan dipindahkan dari Puchong ke kemudahan dapur berpusat baharu ini selepas siap persediaan menjelang suku keempat 2026,” ujarnya. 

Mengulas mengenai pasaran antarabangsa, beliau berkata, Oriental Kopi turut merancang untuk mengembangkan rangkaian kafe ke negara asing melalui tiga model perniagaan berpotensi iaitu usahasama (JV) pemilik-pengendali, francais utama, dan francais. 

“Dalam model usahasama, syarikat akan menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan, manakala dalam model francais utama, syarikat akan melantik francais utama untuk memiliki dan mengendalikan beberapa kafe serta memberi sub-francais. 

“Bagi model francais pula, syarikat akan melantik satu atau beberapa syarikat untuk menjadi francais bagi mengendalikan kafe-kafe tersebut,” katanya. 

Calvin Chan berkata, Oriental Kopi telah menandatangani perjanjian usahasama dengan Paradise Group untuk mengembangkan operasi kafe ke Singapura, dengan perancangan untuk membuka dua kafe pada 2025 selepas pembukaan kafe baharu pada 27 November tahun lalu. 

“Syarikat itu juga akan mengeksport jenama makanan berbungkus melalui saluran pengedaran tidak langsung dan melaksanakan aktiviti pemasaran proaktif dengan menyertai pameran makanan dan minuman di luar negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×