PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang bakal menjadi Pengerusi Konfederasi Majikan ASEAN (ACE) akan membantu ASEAN meningkatkan penglibatan belia dan masyarakat sivil dalam proses ASEAN, memastikan dasar-dasar ASEAN memberi manfaat kepada 680 juta rakyat rantau ini.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, MEF sebagai organisasi pusat sektor majikan swasta di Malaysia yang diiktiraf di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, pihaknya akan membantu kerajaan memastikan kejayaan kepimpinan Malaysia dalam ASEAN.
“MEF akan mempengerusikan ACE yang dijadualkan pada suku pertama 2025. Sebagai Pengerusi ACE, MEF akan menggerakkan dasar-dasar ACE yang menyokong kepimpinan Malaysia dalam ASEAN.
“MEF juga melihat kepentingan dasar inklusif dan berpaksikan rakyat dalam ASEAN serta memperjuangkan inisiatif yang menangani cabaran sosio budaya seperti akses pendidikan, mobiliti buruh melalui Peraturan Pengiktirafan Bersama (MRA) serta peningkatan perlindungan keselamatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pelantikan Pendana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2015 menyediakan peluang untuk membentuk transformasi pesat di rantau ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam menyediakan kepimpinan untuk menyesuaikan rantau ini dengan cabaran semasa dengan memperkukuhkan perdagangan intra serantau, transformasi digital dan daya tahan rantaian bekalan.
“Perdana Menteri berada dalam kedudukan untuk melaksanakan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, yang memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi digital, peralihan tenaga hijau dan menangani isu keselamatan makanan akibat ketidaktentuan rantaian bekalan global,” katanya.
ACE ditubuhkan pada 1978 untuk mengoptimumkan kerjasama dan perwakilan dalam bidang undang-undang buruh, hubungan industri dan amalan di kalangan majikan ASEAN.
ACE menghimpunkan sepuluh organisasi majikan di ASEAN termasuk MEF dari Malaysia.
Pelantikan Datuk Dr. Syed Hussain sebagai ahli badan pengurusan majikan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi tempoh 2024 hingga 2027 dan sebagai Pengerusi ACE pada 2025 hingga 2027 memberikan platform strategik untuk memacu perubahan dalam dasar buruh dan ekonomi serantau.
MEF komited untuk memodenkan tempat kerja, mempercepatkan transformasi digital dan memastikan kelestarian di seluruh ASEAN.-UTUSAN










