PEMAJU hartanah gaya hidup terkemuka, Eastern & Oriental Berhad (E&O) memperkenalkan kediaman persisiran terbaharu, Maris di Gurney Green, Pulau Andaman, Pulau Pinang yang mencerminkan konsep gaya hidup marina.
Pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM700 juta itu menggabungkan kemudahan bandar moden dengan ketenangan serta keanggunan suasana tepi laut.
Maris ialah pembangunan pegangan bebas yang menawarkan 516 unit pangsapuri servis lengkap dengan perabot, bertempat di sebuah menara 49 tingkat.
Kediaman ini direka untuk memenuhi pelbagai gaya hidup, dengan saiz unit bermula dari 979 kaki persegi untuk dua bilik tidur hingga unit tiga bilik tidur berukuran antara 1,177 hingga 1,356 kaki persegi.
E&O berkata, unit lengkap perabot menawarkan pengalaman kediaman tanpa kerumitan, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga muda, pesara, individu yang ingin mengecilkan ruang kediaman serta mereka yang mencari kediaman selesa dengan potensi pelaburan.
Pengarah Urusan E&O Berhad, Kok Tuck Cheong berkata, Maris meraikan gaya hidup persisiran moden dengan gabungan kemewahan, fungsi dan kelestarian.
“Konsep marina-edge ini menawarkan suasana yang rancak namun damai, dengan keperluan harian tersedia hanya berberapa langkah dari kediaman.
“Ia lebih sekadar rumah, Maris ialah pengalaman yang direka untuk meningkatkan kualiti hidup penghuni kami,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, setiap unit direka dengan praktikaliti, pencahayaan semula jadi yang melimpah dan kemasan premium untuk memenuhi keperluan gaya hidup eksklusif dan dinamik.
“Dengan harga bermula sekitar RM950,000, Maris menyediakan pelbagai pilihan menarik untuk para pembeli
“Pembangunan ini turut menampilkan lapan rumah kedai persisiran yang menggabungkan elemen runcit dan kediaman, memberikan penduduk akses kepada pelbagai kemudahan dan ruang interaksi sosial,” ujarnya.
Antara kemudahan utama termasuk kolam infiniti, taman hutan, ruang mesra haiwan peliharaan, gimnasium, dan ruang sosial untuk memupuk interaksi komuniti.
Penghuni juga dapat menikmati pemandangan laut dari teres langit (sky terrace) yang dilengkap dengan katil siang berayun (swinging daybeds) serta ruang makan luar dengan latar pemandangan ikonik Persiaran Gurney dan George Town.
Terletak di Pulau Andaman, perbandaran terancang seluas 307.56 hektar, Maris mengaplikasikan konsep urbanisme bandar 15 minit, yang memastikan penduduk menikmati akses mudah ke kawasan membeli-belah, tempat makan, pusat kesihatan, dan ruang rekreasi dalam jarak berjalan kaki atau berbasikal.-UTUSAN










