TROPICANA Uplands melancarkan fasa 1 Fraser Heights, fasa kediaman terbaharu yang terdiri daripada rumah teres bertanah, meliputi kawasan seluas 14.57 hektar dan berjaya mencapai 60 peratus penjualan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM387 juta.
Tropicana Uplands seluas 126.6 hektar merupakan salah satu perbandaran utama Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) di Johor.
Fraser Heights menawarkan rumah teres moden dua dan tiga tingkat yang dikelilingi pelbagai kemudahan dan berdekatan dengan Taman Tengah seluas 3.1 hektar.
Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, Tropicana Uplands telah menjadi kawasan yang sangat dicari di Gelang Patah, Johor.
“Fasa pertama, Aster Heights, mencapai 100 peratus penjualan dan mencatatkan skor tertinggi 87 peratus dalam Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (QLASSIC).
“Disebabkan permintaan tinggi, kami gembira untuk memperkenalkan Fraser Heights, fasa kediaman seterusnya.
“Mengikut mantra kami untuk ‘Redefine the Art of Living’ bagi komuniti Johor, fasa kediaman berpagar dan berpengawal ini menawarkan reka bentuk praktikal, aksesibiliti cemerlang dan akses ke Taman Tengah dengan tujuh kemudahan rekreasi.
“Fasa 1 terdiri daripada 223 unit rumah teres dua tingkat. Fasa seterusnya akan menawarkan rumah teres dua tingkat dan dan tingkat dengan jumlah keseluruhan 295 unit,” katanya dalam kenyataan.
Terletak secara strategik di zon antarabangsa Iskandar Malaysia, Tropicana Uplands dijangka menjadi nadi baharu Gelang Patah, dikelilingi oleh kawasan kediaman dan komersial matang dengan anggaran populasi 140,000.
Jelasnya, Fraser Heights adalah fasa terbaharu dalam pembangunan moden dan mewah di Tropicana Uplands.
“Pembangunan ini terdiri daripada rumah teres dua dan tigas tingkat dengan saiz tanah 18 kaki x 65 kaki untuk fasa 1 (Jenis A) dan 18 kaki x 70 kaki untuk fasa seterusnya (Jenis B dan C).
“Lokasinya yang berdekatan dengan Singapura dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura menjadikannya ideal untuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura serta penduduk tempatan dan keluarga yang ingin meningkatkan taraf kediaman mereka,” ujarnya.
“Pembangunan ini menawarkan kelebihan pelbagai seperti komuniti berpagar dan berpengawal di atas tanah bebas milik, terletak di Zon Antarabangsa Iskandar Malaysia (Flagship Zon B),” katanya.-UTUSAN










