Citaglobal sasar jadi penyedia utama teknologi WTE di Asia

Citaglobal sasar jadi penyedia utama teknologi WTE di Asia

MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Citaglobal Berhad berhasrat menjadi penyedia utama teknologi WTE  di Malaysia, sekali gus di peringkat Asia selepas menyelesaikan pengambilalihan 55 peratus kepentingan dalam LAWI Engineering GmbH (LAWI Germany) dari Jerman pada awal bulan ini.  

Syarikat juga menyasarkan Waste to Energy (WTE)  untuk menjadi salah satu penjana keuntungan utama. 

Sejak 1996, LAWI Germany telah menyiapkan lebih daripada 55 projek loji kuasa WTE di Eropah dan ASEAN, kebanyakannya menerusi kerjasama dengan syarikat sekutunya, LAWI Engineering (Thailand) Co Ltd.

Pengerusi Eksekutif dan Pre­siden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Citaglobal akan menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk projek sisa dan bioenergi di peringkat global, tanpa bergantung kepada pengimportan teknologi dari syarikat asing. 

“Citaglobal juga merancang untuk mengeksport teknologi milik LAWI Germany ke luar Malaysia.

“Model perniagaan kami adalah untuk menjana pendapatan berulang melalui pelesenan teknologi WTE proprietari serta melalui pelaburan jangka panjang berasaskan konsesi,” katanya dalam kenyataan. 

Pada 6 Januari lalu, Citaglobal memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia telah memperoleh 55 peratus kepentingan ekuiti dalam LAWI Germany sebagai sebahagian daripada kerjasama untuk menyediakan teknologi WTE yang canggih dan penyelesaian kejuruteraan untuk projek pengurusan sisa.  

Pengambilalihan tersebut di­se­le­saikan pada 3 Januari 2025, melalui langganan 31,778 saham biasa baharu dalam LAWI Germany oleh anak syarikat milik penuh Citaglobal, Citaglobal Environment Management Sdn. Bhd. (CGEM). 

Bagaimanapun, jumlah pe­ngambilalihan tersebut tidak didedahkan.

Pengasas LAWI Germany, Die­ter Langer, yang sebelum ini merupakan pemegang saham dan pengarah tunggal syarikat tersebut, kini memegang baki 45 peratus kepentingan ekuiti. 

Mohamad Norza berkata, peralihan ke arah ekonomi mampan telah meningkatkan permintaan terhadap penyelesaian pengurusan sisa yang menumpukan kepada penggunaan semula, kitar semula dan pengolahan semula bahan.  

Tambahnya, LAWI Germany memiliki harta intelek (IP) dan kepakaran terbukti dalam teknologi teras loji WTE.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN