CYBERJAYA: Ayam Gepuk (M) Sdn. Bhd., pengendali premis makanan resepi asli Indonesia di bawah jenama Ayam Gepuk Pak Gembus akan memperluas sijil halal di 50 cawangannya menjelang akhir tahun ini.
Ketika ini, kesemua 12 premis Ayam Gepuk Pak Gembus sudah pun memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Operasinya, Zulkarnain Mohd. Yusof berkata, pihaknya telah memulakan proses permohonan bagi mendapatkan SPHM itu sejak tahun lalu.
Beliau berkata, sijil halal adalah sesuatu yang wajib ada kerana ia satu cara bagi meyakinkan setiap pelanggannya.
“Kami tidak hanya menumpukan kepada pendapatan semata-mata sebaliknya mahu yakinkan pelanggan bahawa setiap proses pengeluaran makanan bermula dari dapur berpusat hingga ke meja makan mematuhi sijil halal ditetapkan.
“Siji halal ini selari dengan inisiatif kerajaan bagi memperkukuhkan inisiatif halal di negara ini selain mengekalkan kebersihan, keaslian dan makanan berkualiti tinggi,” katanya pada Majlis Penerimaan Sijil Halal Ayam Gepuk Pak Gembus di sini, baru-baru ini..
Zulkarnain berkata, SPHM ini adalah pencapaian besar bagi pihaknya dan menjadi satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi jenamanya di negara ini.
“Setakat ini, cawangan yang telah menerima SPHM adalah Saujana Utama 3, Puncak Alam, Setiawangsa, Putra Heights, Semenyih, Bandar Seri Putra, Kajang, Kampung Pandan, NeoCyber, Bandar Baru Nilai, Seremban 3 and Bandar Enstek.
“Bagi cawangan yang lain, pelanggan tidak perlu risau kerana semua bekalan makanan ke semua cawangan adalah dari dapur berpusat kami yang telah diperakui halal,” katanya.
Dalam pada itu, premis makanan resepi asli Indonesia di bawah jenama Ayam Gepuk Pak Gembus akan membuka 40 cawangan baharu tahun ini.
Zulkarnain berkata, selepas memperkukuh operasi di Lembah Kelang, cawangan baharunya itu kini akan diperluas ke negeri-negeri di utara Semenanjung.
Beliau berkata, pihaknya merancang untuk beroperasi di cawangan lebih besar berbanding sebelum ini bagi memenuhi keperluan pelanggan.
“Kami kerap menerima keluhan daripada pelanggan yang memaklumkan terpaksa beratur panjang dan ruang makan terhad.
“Kedai baharu (premis) itu kelak akan mempunyai ruang lebih besar memuatkan 70 hingga 80 pelanggan dalam satu masa,” katanya.
Katanya, pihaknya memperuntukkan RM1 juta bagi pembukaan sebuah cawangan baharu.
Zulkarnain berkata, pihaknya akan sentiasa membawa menu dan hidangan baharu dalam bentuk ‘tawaran waktu terhad’ terutama bagi musim-musim dan perayaan tertentu.
“Idea menu baharu itu pastinya dari Indonesia. Menu itu akan diolah supaya dapat menepati cita rasa tempatan,” katanya.-UTUSAN









