SEJAK penubuhan pada 2004, Rapid KL telah memainkan peranan penting dalam transformasi sistem pengangkutan awam di Lembah Klang, sejajar dengan amalan terbaik negara-negara lain yang mempunyai pengetahuan awam yang bagus.
Rapid KL, jenama perkhidmatan di bawah Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi pengangkutan rel dan bas di Lembah Klang pada awalnya diberi tanggungjawab untuk mengoperasikan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Putra dan STAR yang kini dikenali sebagai Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang-Sri Petaling.
Selain itu, bas henti-henti yang dahulunya dikenali dengan nama berbeza seperti Intrakota dan Cityliner, kini telah diseragamkan di bawah jenama Rapid KL.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, bermula dengan dua laluan rel iaitu Putra dan STAR yang mempunyai jarak keseluruhan sepanjang 56.2 kilometer (km) melibatkan 49 stesen, Rapid KL kini mengendalikan lima laluan rel.
Katanya, ini melibatkan LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Monorel KL serta Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang dan Putrajaya dengan jumlah jajaran rel sepanjang 203 km.
“Perkembangan ini telah meningkat kepada hampir empat kali ganda dan merangkumi 149 stesen, iaitu tiga kali ganda berbanding sebelum ini.
“Selain itu, kekerapan tren secara keseluruhannya mempunyai peningkatan yang ketara. Sebagai contoh, kekerapan tren bagi Laluan Ampang pada tahun 2004 adalah setiap 10 minit dan kini kita berjaya meningkatkannya kepada hanya setiap tiga minit, peningkatan lebih daripada tiga kali ganda.
“Seterusnya, bagi perkhidmatan bas Rapid KL yang kini merangkumi bas henti-henti, bas perantara LRT dan MRT, serta perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) di Laluan Sunway,” katanya ketika ditemui di pejabatkan di sini, baru-baru ini.
Mohd. Azharuddin berkata, perkhidmatan bas Rapid KL juga telah melalui transformasi dengan peningkatan jumlah laluan sebanyak 50 peratus daripada 179 laluan pada 2004 kepada kepada 273 laluan ketika ini.
“Hasilnya, perkhidmatan bas Rapid KL mencatatkan lebih daripada 1.25 juta perjalanan penumpang setiap hari ketika ini, berbanding 470,000 penumpang pada 2004, iaitu peningkatan lebih daripada 2.5 kali ganda.
“Dari segi kebolehpercayaan, pada tahun 2022 terdapat lebih 200 jumlah gangguan yang merangkumi semua perkhidmatan rel Rapid KL, di mana puratanya adalah sekitar 50 bagi setiap laluan.
“Walau bagaimanapun, kami telah berjaya mengurangkan angka itu kepada kurang 30 ketika ini dan menyasarkan untuk mengurangkannya lagi kepada 20 gangguan sahaja untuk satu laluan,” ujarnya.
Beliau berkata, pertumbuhan Rapid KL didorong barisan kakitangannya yang mencapai 13,000 sehingga kini yang kebanyakannya adalah warganegara tempatan terdiri daripada barisan hadapan seperti operator stesen, juruteknik, kapten bas dan lain-lain lagi.
Tambahnya, bagi meningkatkan ketersambungan penduduk ke pengangkutan awam, Rapid KL telah mengoperasikan perkhidmatan van Demand-Responsive Transit (DRT) sebanyak 20 buah van pada Jun tahun ini dan dijangkakan sebanyak 320 buah van akan berkhidmat pada suku pertama tahun 2025.
“Melalui perkhidmatan ini, pengguna boleh memesan van melalui aplikasi MyRapid Pulse dan van akan mengambil mereka di pick-up point atau tempat untuk mengambil penumpang.
“Pada masa ini, terdapat sembilan kawasan perumahan terlibat. Perkhidmatan ini dilihat lebih baik daripada bas dan kos operasinya juga lebih rendah iaitu kira-kira 70 peratus lebih rendah,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Azharuddin berkata, Rapid KL juga akan mengoperasikan laluan rel baharu iaitu LRT Laluan Shah Alam sepanjang 37 km dengan 25 stesen yang bakal memberi manfaat kepada dua juta penduduk sekitar koridor Shah Alam dan Klang.
Jelasnya, 20 stesen pertama dijangka akan beroperasi pada suku ketiga tahun 2025 dan pembukaan laluan baharu ini dapat memberi lebih akses dan mobiliti kepada warga kota untuk bergerak dengan menggunakan pengangkutan awam.-UTUSAN










