SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) membangunkan pelan tindakan bersama pengurusan bencana ketika operasi haji.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pelan tindakan julung kali diadakan itu akan dilaksanakan bermula musim haji 2025 melalui satu protokol standard bagi menambah baik tahap keselamatan jemaah haji.
Menurut beliau, kerjasama itu antaranya menetapkan peranan dan tanggungjawab jelas kedua-dua pihak dalam pengurusan bencana udara termasuk perkongsian maklumat, aset dan kakitangan semasa kecemasan bagi memastikan pengurusan bencana berkesan.
“TH telah pun mempunyai Pelan Pengurusan Bencana Operasi Haji Tanah Suci sejak 2013 untuk melindungi jemaah dan pihak berkepentingan terhadap risiko gangguan dan bencana semasa operasi haji.
“Syarikat-syarikat penerbangan juga memang sudah ada pelan pengurusan bencana mereka yang lengkap untuk operasi penerbangan komersial, namun sebelum ini ia tidak khusus untuk operasi haji.
“Dengan adanya kerjasama strategik bersama MAB ini, ia akan menambah baik SOP (prosedur operasi standard) supaya ia lebih menyeluruh dalam menyantuni jemaah haji negara pada setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU antara TH dan MAB di sini, semalam.
MoU itu bagi menjalin kerjasama strategik untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan pengurusan dalam menangani sebarang bencana udara ketika operasi haji.
Menurut Syed Hamadah, TH yakin melalui kerjasama tersebut, mereka dapat menguruskan bencana dengan lebih berstruktur serta meningkatkan ketersediaan kedua-dua organisasi dalam mengendalikan bencana udara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia Aviation Group, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, kolaborasi antara MAB dan TH dapat memastikan kesiapsiagaan dan tindak balas menyeluruh terhadap sebarang bentuk cabaran.
“Kami yakin kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan bersama dalam pengurusan krisis tetapi juga menegaskan keutamaan kami dalam menjaga kebajikan jemaah, sejajar dengan tanggungjawab kami kepada negara,” katanya.-UTUSAN








