SkyWorld, PDC bangun 35,000 rumah mampu milik

SkyWorld, PDC bangun 35,000 rumah mampu milik

ANWAR Ibrahim (tengah) menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani antara SkyWorld Development Berhad dan Pulau Pinang Development Corporation di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, membabitkan pembinaan hampir 38,000 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Pulau Pinang.

Perjanjian yang diwar-warkan sebagai projek pembangunan rumah mampu milik terbesar negara tersebut ditandatangani antara SkyWorld Development Berhad bersama Pulau Pinang Development Corporation (PDC) dan PDC Properties (anak syarikat PDC).

Menurut kenyataan  bersama SkyWorld dan PDC, pembangunan itu terletak di dua plot utama di Pulau Pinang, melibatkan kawasan seluas 13.75 hektar di Seberang Jaya dan 65.35 hektar di Batu Kawan, 

“Projek itu menyasarkan untuk menawarkan lebih 35,000 unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Bakat Baru Madani, berharga antara RM225,000 dan RM420,000.

“Fasa pertama pembangunan berkenaan dijadualkan untuk dilancarkan pada 2026 dengan tempoh pembangunan menjangkau 10 tahun untuk keseluruhan projek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menekankan kepentingan perkembangan tersebut dalam wawasan negeri Penang 2030, yang mengutamakan kebolehdiaman dan pertumbuhan sosioekonomi.

Menurut beliau, skim perumahan baharu itu menangani peningkatan permintaan untuk rumah mampu milik didorong oleh kemajuan ekonomi perindustrian negeri, yang terus menarik bakat domestik dan antarabangsa.

“Konsep Rumah Bakat Baru Madani merupakan satu game changer.

“Ia menawarkan peluang untuk kedua-dua warga Pulau Pinang dan bukan warga Pulau Pinang yang bekerja di sini untuk memiliki rumah, memastikan keterangkuman dan ekuiti dalam perumahan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek tersebut selari dengan prinsip kesejahteraan Malaysia Madani.

“Kerjasama ini menunjukkan kuasa perkongsian awam-swasta dalam merealisasikan wawasan kerajaan. la adalah model contoh kepada negeri lain, memastikan perumahan mampu milik yang berkualiti tetap menjadi keutamaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN