PETALING JAYA: Pemegang saham baharu U Mobile, Mawar Setia Sdn. Bhd. seharusnya mampu menyumbang atau memberi nilai tambah kepada syarikat telekomunikasi tersebut, kata penganalisis.
Pengarah Program MBA, Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman berkata, contohnya, ahli lembaga pengarah yang mewakili Mawar Setia harus mempunyai kemahiran, pengetahuan dan integriti yang tinggi untuk memberi membuat keputusan yang baik dalam mesyuarat.
Katanya, pengambilalihan syarikat tempatan daripada Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia) baik dari segi kutipan pendapatan cukai syarikat.
“Impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah minimum, tetapi sekurangnya kutipan pendapatan cukai syarikat akan bertambah jika U Mobile sentiasa mencatatkan keuntungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, ST Telemedia dalam kenyataan memberitahu Mawar Setia akan membeli kepentingan majoriti dalam penyedia perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar, U Mobile.
Di bawah perjanjian pembelian saham bersyarat, Mawar Setia akan membeli saham dalam U Mobile daripada Straits Mobile Investments, anak syarikat ST Telemedia
Straits Mobile akan memegang 20 peratus kepentingan apabila urus niaga itu selesai.
Butiran kewangan lain urus niaga itu tidak didedahkan oleh ST Telemedia, yang dimiliki oleh sayap pelaburan kerajaan Singapura, Temasek.
Mawar Setia adalah syarikat yang dimiliki 70 peratus oleh taikun Vincent Tan dan 30 peratus oleh Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, anakanda kepada Sultan Johor.
Pegangan efektif Tunku Aminah dalam U Mobile akan menjadi 8.5 peratus.
Ayahandanya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memiliki 22.3 peratus saham dalam U Mobile.
Secara gabungan, Sultan Ibrahim dan Tunku Aminah akan memiliki 30.8 peratus pegangan dalam syarikat telekomunikasi itu, menjadikan mereka pemegang saham terbesar.
Penguasaan Vincent Tan dalam U Mobile melalui Mawar Setia sebanyak 19.8 peratus, manakala jumlah pegangan keseluruhannya dalam syarikat tersebut, termasuk melalui pemilikan manfaat daripada pemegang saham lain seperti Berjaya Infrastructure dan U Telemedia, dianggarkan sekitar 22.2 peratus.-UTUSAN










