Kanopi Residences bakal hiasi Bandar Elmina

Kanopi Residences bakal hiasi Bandar Elmina

PEMBANGUNAN dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM299 juta ini dijual pada harga bermula serendah RM565,888 seunit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIME Darby Property Berhad bakal melancarkan projek pembangunan bertingkat pertama di Bandar Elmina  iaitu Kanopi Residences dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM299 juta.

Projek perumahan itu bakal menawarkan 449 unit kediaman dengan keluasan 1,000 kaki persegi setiap satu. 

Kediaman itu turut menampilkan tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua tempat letak kereta dengan harga unit bermula serendah RM565,888.

Kanopi Residences yang direka dengan konsep bandar 15 minit menyediakan ruang kediaman yang menggabungkan elemen kesejahteraan, pekerjaan, pembelajaran dan rekreasi.

Kawasan itu juga dibangunkan di lokasi  yang strategik iaitu hanya 300 meter dari Elmina Lakeside Mall, yang menawarkan lebih 90 pilihan runcit dan tempat makan.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, Kanopi Residences merupakan pembangunan penting yang akan memberi nilai tambah kepada Bandar Elmina.

“Lokasinya di tengah-tengah Elmina menjadikannya pembangunan ikonik, disokong oleh pelancaran Elmina Lakeside Mall baru-baru ini yang menjadi pemangkin pertumbuhan bandar ini.

“Projek ini turut berdekatan dengan hab pendidikan yang sedang dibangunkan, termasuk SJK(C) Regent Elmina dan Sekolah Menengah Akademik Chong Hwa yang dijadualkan dibuka pada 2026 dan 2027. 

“Terdapat juga sekolah kebangsaan seperti Sekolah Kebangsaan Denai Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Denai Alam dijangka siap pada 2026 dan 2028,” katanya.

Selain itu, Appollo berkata, dari segi aksesibiliti, Kanopi Residences dihubungkan dengan baik melalui lebuh raya seperti Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash), Guthrie Corridor Expressway serta hab Transit Aliran Massa (MRT) masa depan yang menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga muda, pasangan baru berkahwin dan pelabur.

Jelasnya, projek itu juga menonjolkan komitmen Sime Darby Property terhadap kesejahteraan dan kelestarian dengan pelbagai kemudahan bertemakan kesejahteraan seperti taman langit, kolam renang dan kawasan kecergasan. 

“Penduduk juga bakal menikmati akses terus ke 121.4 hektar Elmina Central Park, yang menawarkan enam taman bertema dan ruang rekreasi untuk gaya hidup aktif.

“Malah, Kanopi Residences juga telah menerima pensijilan GreenRE Silver, hasil reka bentuk cekap tenaga, penggunaan bahan mesra alam dan sistem penuaian air hujan.

“Projek ini bukan sahaja menawarkan kediaman moden tetapi juga memenuhi keperluan kehidupan lestari, sejajar dengan komitmen syarikat untuk membangunkan komuniti yang mampan,” katanya.

Tambahnya, syarikat merancang pelbagai inisiatif lain di Bandar Elmina seperti taman tambahan, kemudahan sukan dan seni instalasi yang dijangka menjadikan kawasan itu contoh bandar masa depan yang mengintegrasikan komuniti, budaya dan kesejahteraan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN