BELACAN sememangnya amat sinonim digunakan sebagai pelengkap dalam pelbagai juadah masakan disebalik baunya yang kurang menyenangkan.
Boleh dikatakan kebanyakan masakan di negara ini juga menggunakan belacan yang kebiasaannya dihasilkan dengan menggunakan udang geragau dan melalui beberapa proses tertentu.
Susulan permintaan yang laris, penduduk sekitar Kuala Perlis juga tidak melepaskan peluang bagi menghasilkan belacan untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan mereka sejak dahulu lagi.
Penghasilan belacan di kawasan ini juga diusahakan sendiri oleh pelbagai golongan usia malah ada di antaranya turut diwarisi turun-temurun.
Norathirah Marzuki, 30, merupakan antara pengusaha belacan muda di Sungai Berembang, Kuala Perlis, di sini, yang mewarisi perusahaan AA Bayu milik keluarganya bagi memasarkan produk belacan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norathirah berkata, dia merupakan generasi ketiga mewarisi perniagaan belacan tersebut yang telah diusahakan sejak lebih dua dekad lalu bermula tahun 1999.
“Perusahaan ini sememangnya amat menjaga kualiti penghasilan belacan dengan mengutamakan kebersihan dan tidak menggunakan sebarang pewarna tambahan.
“Disebabkan itulah, kami dapat bertahan untuk tempoh masa panjang kerana amat menitik beratkan aspek kebersihan dan kualiti demi kepuasan pelanggan,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut, Norathirah berkata, dalam tempoh sebulan, pihaknya mampu memasarkan sekitar lima ke enam tan belacan dengan hasil jualan mencecah sehingga RM50,000.
Ujarnya, bagaimanapun, pada musim perayaan atau cuti persekolahan, jualan belacannya itu mampu meningkat sehingga mencecah 15 tan susulan permintaan yang tinggi.
“Kami juga mempunyai dua ketiga orang ejen di setiap negeri bagi membantu memasarkan belacan-belacan ini kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Norathirah berkata, proses penghasilan belacan juga kebiasaannya mengambil masa sekitar dua hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Ujarnya, untuk proses permulaan, udang geragau yang telah dihancurkan perlu dijemur terlebih dahulu selepas dicampur garam dan diperam semalaman.
“Selepas diperam, udang yang dihancurkan itu kemudiannya dijemur dalam tempoh dua ke tiga jam lalu kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin sebelum dibentukkan,” katanya.
Dalam pada itu, Norathirah berkata, harga belacan yang dipasarkannya itu juga adalah bermula dari serendah RM1 sehingga RM5 mengikut saiz dan berat.
Katanya, selain penduduk setempat, pelancong luar yang berkunjung ke negeri ini juga kerap singgah di kedainya bagi membeli sendiri belacan yang dipasarkannya itu.
“Selain bantuan daripada pekerja, saya juga menggunakan peralatan mesin yang dibeli khas bagi membantu memenuhi permintaan pelanggan seluruh negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Norathirah berkata, dia juga menyasarkan untuk memperkukuhkan lagi perusahaan itu selepas ini bagi meneruskan legasi perniagaan berkenaan.
Tambahnya, beliau juga kini dalam proses untuk mengeluarkan belacan serbuk yang sebelum ini telah memasuki makmal bagi penetapan maklumat isi kandungan.
“Belacan serbuk ini lebih tahan lama namun rasanya masih sama dan kita sedang ke arah untuk mengeluarkan produk tersebut selepas ini,” katanya.-UTUSAN










