KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Berhad melancarkan HomeClick, sebuah platform inovatif dalam talian yang mengubah perjalanan pembelian rumah menjadi pengalaman digital yang lancar.
Kini, platform itu tersedia untuk Residensi ZIG di Kiara Bay dan membolehkan pembeli menempah unit, meneroka hartanah secara maya dan mendapatkan pembiayaan melalui kerjasama dengan Maybank Home2u, yang menawarkan kelulusan pinjaman serta-merta dalam beberapa saat.
Dengan kerjasama Maybank, HomeClick mengintegrasikan alat pembiayaan Maybank Home2u, menawarkan proses permohonan pinjaman atas talian yang lancar dan pantas terus melalui HomeClick.
Melalui integrasi ini, pembeli rumah baharu UEM Sunrise yang layak boleh mendapatkan kelulusan pembiayaan hampir serta-merta dalam 10 saat dengan surat tawaran dikeluarkan dalam masa sejam.
Selain itu, terdapat ciri pemeriksaan pinjaman pilihan yang dikuasakan oleh Finology, yang memudahkan pemeriksaan kelayakan sebelum membuat permohonan.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pelancaran itu mendefinisikan semula pengalaman pembelian rumah dengan memberikan pendekatan digital yang memudahkan dan telus pada setiap langkah perjalanan.
“Platform ini lebih daripada sekadar alat dalam talian dan merupakan komitmen untuk terus berkembang mengikut keperluan pelanggan kami dalam era digital ini.
“Ini menjadikan pemilikan rumah bukan sahaja dapat dicapai secara digital tetapi juga lancar dan cekap.
“HomeClick mewakili visi kami untuk mengintegrasikan teknologi dengan reka bentuk yang berpusat kepada manusia, memastikan setiap perjalanan pelanggan ke rumah baharu mereka mudah dan menarik seperti destinasi itu sendiri,” katanya semasa Majlis Pelancaran Platform HomeClick di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasarannya, Emily Teh berkata, langkah inovatif itu menandakan era baharu untuk UEM Sunrise yang merupakan lonjakan besar dalam evolusi proses pembelian rumah.
“Dengan menerima kemajuan digital, kami menyampaikan kemudahan terbaik kepada pembeli rumah moden, membolehkan mereka menempah rumah dan memohon pinjaman secara dalam talian dengan lancar.
“Kami teruja untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dan memimpin dalam mengubah proses pembelian rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Digital dan Inovasi Teknologi UEM Sunrise, Hasniza Mohamed berkata, transformasi digital itu memenuhi jangkaan generasi pembeli rumah baharu yang biasa dengan kemudahan sambungan internet.
“Kami komited untuk terus meningkatkan keupayaan digital kami bagi mendahului perubahan tingkah laku pengguna dan menyediakan penyelesaian inovatif dalam pasaran hartanah,” katanya.-UTUSAN









