TRINITY Group Sdn. Bhd. melancarkan pembangunan kediaman terbaharunya Trinity Sensoria, yang memperkenalkan sistem perlindungan lima peringkat yang inovatif untuk memberikan ketenangan fikiran yang tiada tandingan kepada penduduk.
Projek itu adalah usaha sama dengan pemaju hartanah yang berpangkalan di Singapura, Oxley Holdings Ltd dan dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM568 juta.
Terletak di kawasan strategik di Beverly Heights, Ampang North, pembangunan 29 tingkat ini dibina di atas plot pegangan bebas seluas 2.47 hektar dan menampilkan 737 unit kediaman antara 1,008 kaki persegi hingga 2,591 kaki persegi.
Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group, Datuk Neoh Soo Keat berkata, Trinity Sensoria dibangunkan atas kejayaan Trinity Wellnessa, projek kejiranan dengan GDV RM315 juta yang mempelopori sistem perlindungan tiga kali ganda.
Katanya, pihak faham bahawa rakyat Malaysia kini mempunyai kesedaran yang lebih baik tentang kesejahteraan melangkaui aspek fizikal sahaja tetapi juga menghargai kepentingan kesejahteraan mental dan sosial.
“Oleh itu, kami sangat teruja untuk memperkenalkan Trinity Sensoria dan sistem perlindungan lima peringkat yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
“Sistem ini direka bentuk dengan pendekatan bersepadu terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk dengan menggabungkan teknologi tanpa sentuhan, reka bentuk berorientasikan kesejahteraan, kemudahan kesihatan fizikal, ruang kesejahteraan sosial dan kemudahan kesihatan mental,” katanya pada majlis pelancarannya baru-baru ini.
Menurutnya, nama ‘Sensoria’ dipilih kerana ia menggambarkan intipati pembangunan zaman baharu yang menyegarkan pancaindera dengan pengalaman kesihatan holistik untuk penghuninya.
“Pembeli rumah moden mencari lebih daripada sekadar tempat tinggal. Mereka mencari tempat perlindungan yang secara aktif menyokong kesejahteraan mereka.
“Sensoria menyediakan tempat percutian yang aman, dikelilingi oleh kehijauan dan dipertingkatkan dengan ciri keselamatan dan kesejahteraan yang canggih, jadi penduduk boleh benar-benar ‘Hidup Baik, Hidup Selamat’,” tambahnya.
Pembangunan ini terletak sejauh 10 kilometer (km) pemanduan dari pusat bandar Kuala Lumpur dan mudah diakses melalui lebuh raya seperti Jalan Lingkaran Tengah 2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang.
Tambahnya, Sensoria yang dijangka siap pada 2028 itu bertujuan untuk merangsang deria penduduk melalui kemudahan yang disusun dengan teliti, sejajar dengan jangkaan kehidupan bandar kontemporari.
Pembangunan dengan harga bermula dari RM608,000 untuk unit berkeluasan 1,008 kaki persegi itu menyasarkan demografi yang pelbagai, termasuk keluarga kelas pertengahan atas, profesional, pelabur dan pembeli rumah kali pertama.-UTUSAN










