MKHOP raih untung bersih sebanyak RM21 juta

MKHOP raih untung bersih sebanyak RM21 juta

ALEX CHEN KOOI CHIEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MKH Oil Palm (East Kalimantan) Berhad (MKHOP), syarikat perladangan sawit yang berpusat di Indonesia, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21 juta dengan hasil RM90.59 juta bagi suku keempat berakhir 30 September 2024. 

Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku ini ialah 2.73 sen.  

Menurut kenyataan, prestasi itu didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang kukuh, selain penambahbaikan kecekapan operasi dengan kadar pengekstrakan minyak (OER) meningkat kepada 21.2 peratus untuk tahun kewangan 2024 berbanding 20.6 peratus pada tahun sebelum. 

Jelasnya, keputusan positif itu turut melonjakkan keuntungan bersih setahun penuh syarikat sebanyak 95.78 peratus kepada RM64.21 juta berbanding RM32.8 juta pada tahun kewangan 2023. 

“Sepanjang tempoh sama, hasil meningkat 4.16 peratus kepada RM352.22 juta dengan EPS setahun penuh sebanyak 8.25 sen,” katanya. 

MKHOP turut mengumumkan dividen interim tunggal kedua sebanyak 2 sen sesaham, akan dibayar pada 30 Disember 2024 kepada pemegang saham berdaftar pada 13 Disember 2024. 

“Sebelumnya, dividen interim pertama sebanyak dua sen sesaham telah dibayar pada 12 Jun 2024. Jumlah dividen bagi tahun kewangan 2024 kini berjumlah 4 sen sesaham, memberikan hasil kira-kira enam peratus berdasarkan harga saham semasa sebanyak 67 sen,” katanya. 

MKHOP berkata, purata harga bersih MSM bagi suku keempat ialah RM3,592 setan selepas tolak duti eksport dan levi di Indonesia, manakala PK ialah RM2,352 setan. 

“Sepanjang tahun kewangan 2024, purata harga MSM dan PK masing-masing ialah RM3,494 setan dan RM1,820 setan. 

“Pengeluaran buah tandan segar (BTS) juga sebanyak 406,657 tan dan mengurus kawasan tanah seluas 18,205 hektar, termasuk 17,009 hektar yang ditanam.  

“Dari segi kewangan, MKHOP kekal kukuh dengan hampir tiada pinjaman dan tunai sebanyak RM225.22 juta setakat 30 September 2024,” katanya. 

Pengerusi MKHOP, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata, pihaknya amat gembira dengan pencapaian cemerlang itu dan akan terus memajukan program pengembangan, mekanisasi serta aplikasi pintar bagi memaksimumkan kecekapan dan pertumbuhan masa hadapan. 

“Pospek MKHOP bagi tahun kewangan 2025 kekal positif, dipacu permintaan kukuh terhadap MSM yang kini diperdagangkan pada RM3,800 hingga RM4,300 setan (bersih selepas duti dan levi). 

“Permintaan ini disokong oleh rancangan Indonesia meningkatkan mandat biodiesel dari B35 kepada B40, kekurangan bekalan global minyak sayuran, serta permintaan bermusim yang stabil.  

“MKHOP juga sedang menjalankan usaha wajar bagi potensi pengambilalihan tanah baharu, dengan pengumuman berkaitan dijangka dibuat tidak lama lagi,” ujarnya.

Tambahnya, dengan faktor-faktor itu, Lembaga Pengarah MKHOP optimis kumpulan akan mencapai prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN