PETALING JAYA: Laporan kewangan kebanyakan syarikat besar Malaysia terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terus positif selari dengan prestasi ekonomi yang negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, syarikat menunjukkan pertumbuhan jualan dan keuntungan sebelum cukai sehingga suku ketiga tahun 2024.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku ketiga mencatatkan 5.3 peratus dan secara kumulatifnya untuk tiga suku pertama purata pertumbuhan 5.2 peratus.
“Ini disebabkan pertumbuhan ekonomi domestik yang didorong oleh kestabilan kewangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dan aliran tunai dalam sistem perbankan negara mencukupi,
“Perkara tersebut membantu syarikat Malaysia untuk melaksanakan model perniagaan masing-masing.
“Ini termasuk syarikat pembinaan yang didorong peningkatan 20 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding pada 2023. Projek mega infrastruktur terus menjadi pemangkin pertumbuhan sektor ini menjadikan syarikat berteraskan pembinaan dan berkaitan melaporkan prestasi kewangan yang baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sektor eksport juga terus meningkat dengan tambahan pesanan dari pembeli luar negara terutamanya sektor elektronik dan elektrik.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, prestasi syarikat kebiasaannya mencerminkan keadaan ekonomi semasa.
“Antara faktornya adalah peningkatan pelaburan domestik yang mencerminkan keadaan pasaran tempatan.
“Faktor lain adalah persekitaran ekonomi global dan dasar kerajaan, insentif kepada sektor strategik, pelepasan cukai dalam teknologi hijau, pertanian moden serta penyaluran dana pelaburan khas dan juga kemudahan pinjaman dan dana dengan kadar faedah rendah.
“Oleh itu, pertumbuhan KDNK ini secara langsung mempengaruhi prestasi syarikat tersebut. Ini akan membantu syarikat kecil dan sederhana untuk berkembang, kekal bersaing dan menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Terdahulu, beberapa syarikat menunjukkan prestasi baik, AMMB Holdings Berhad (AmBank) mencatatkan untung bersih bernilai RM1 bilion dalam separuh pertama 2025 berakhir 30 September 2024, meningkat 18 peratus berbanding RM848.15 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Selain itu, Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) turut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih tinggi bernilai RM335.13 juta pada suku ketiga 2024 berbanding RM184.72 juta yang direkodkan dalam suku sama tahun lalu.
Kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi dalam sektor Runcit Mogas dan penerbangan, yang didorong oleh peningkatan pergerakan penumpang domestik dan antarabangsa.-UTUSAN










