GOLONGAN muda di Malaysia dilihat bergelut dengan cabaran yang membataskan kemampuan mereka untuk menabung dan melabur demi masa depan, menurut laporan terkini Prudential Malaysia Assurance Bhd (PAMB).
Laporan bertajuk Melakar Masa Depan Yang Gemilang – Mencari Jaminan Kewangan Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia yang ditulis oleh Economist Impact mendapati keadaan itu berlaku berikutan kenaikan gaji yang rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan dan celik kewangan yang terhad.
Laporan itu menunjukkan golongan termuda Malaysia yang berumur di antara 25 hingga 34 tahun lebih bimbang mengenai kewangan peribadi mereka terutamanya golongan dewasa muda yang berada di peringkat awal kerjaya.
Dari segi simpanan, laporan itu mendapati hanya 25 peratus dari kumpulan umur 25 hingga 34 tahun menyumbang kepada dana persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Laporan itu juga menunjukkan kurang 48 peratus rakyat Malaysia mengakui berpuas hati dengan kesejahteraan kewangan mereka, yang kedua terendah dalam kalangan negara ASEAN.
Walaupun lebih separuh (57 peratus) yakin mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menanggung kehidupan sehingga umur 80 tahun ke atas, namun ini adalah angka terendah yang dicatatkan dalam mana-mana negara yang terbabit dalam kaji selidik.
Pergelutan kewangan yang terjadi dalam kalangan golongan muda dapat dilihat dari banyak faktor tetapi paling utama ialah kadar gaji minimum yang masih di bawah garisan yang terbaik.
Keadaan ini membawa kepada impak terutamanya simpanan ketika waktu tua melalui KWSP yang dijangka tidak akan cukup walaupun bekerja melebihi 30 tahun.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, keperluan untuk mendapatkan gaji minimum yang ideal membolehkan rakyat terutama golongan B40 untuk mencapai sasaran keperluan simpanan semasa hari tua dan mengurangkan kerisauan mereka.
Katanya, gaji minimum sebanyak RM2,000 merupakan satu langkah permulaan yang dapat memenuhi keperluan ini dalam jangka masa sekurang-kurangnya 30 tahun tempoh bekerja.
“Kajian juga telah menunjukkan keperluan simpanan mencecah RM240,000 bagi rakyat Malaysia yang bersara bagi menghadapi kehidupan di hari tua.
“Kenaikan peratusan caruman juga harus progresif mengikut kestabilan ekonomi semasa negara dan peningkatan gaji minima tahunan oleh pencarum.
“Negara yang dapat dijadikan contoh seperti Singapura yang mempunyai kadar caruman yang tinggi dengan pulangan ideal terhadap rakyat dan negara dalam jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, orang muda haruslah bijak menguruskan kewangan daripada zaman muda dan harus sedar sebelum terlambat.
“Jika sudah sampai umur 55 dan tidak cukup simpanan KWSP maka sebarang tindakan yang hendak diambil sudah terlambat.
“Mereka perlu berjimat cermat dan tidak membelanjakan kepada perkara yang tidak perlu seperti Astro, Coway dan lain-lain,” katanya.
Jelas Abu Sofian, kesedaran perlu diberikan kepada pekerja sama ada kerajaan atau swasta untuk terus hidup secara bersederhana dari muda hingga persaraan.
Tambahnya, mereka haruslah menahan nafsu untuk menikmati sesuatu yang di luar kemampuan kerana ‘muda cermat, tua selamat.-UTUSAN










