HLFG catat untung bersih RM848j pada suku pertama

HLFG catat untung bersih RM848j pada suku pertama

Hong leong
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Financial Group Berhad (HLFG) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 14.3 peratus kepada RM848 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berakhir 30 September 2024, didorong oleh peningkatan prestasi perbankan komersial dan insurans.

Menurut kenyataannya, bagi ahagian perbankan komersil, keuntungan sebelum cukai (PBT) Hong Leong Bank Berhad (HLB) meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun disokong oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang teguh, pendapatan bukan faedah yang lebih baik dan sumbangan stabil daripada syarikat bersekutu.

Bahagian insurans, HLA Holdings Sdn. Bhd. (HLAH) melaporkan peningkatan PBT sebanyak 142.3 peratus tahun ke tahun daripada pendapatan pelaburan yang lebih kukuh dan hasil perkhidmatan insurans bersih yang lebih tinggi.

Untuk bahagian perbankan pelaburan dan pengurusan aset, PBT Hong Leong Capital Berhad (HLCB) lebih rendah sebanyak 20.5 peratus tahun ke tahun.

Ini diterjemahkan kepada pulangan purata ekuiti (ROE) yang lebih baik sebanyak 11.3 peratus, berbanding dengan 10.8 peratus setahun yang lalu.

Nilai buku sesaham meningkat kepada RM26.28 pada 30 September 2024 daripada RM24.25 pada tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Financial Group, Tan Kong Khoon berkata, prestasi kewangan suku pertama 2025 yang kukuh didorong oleh fokus pelaksanaan keutamaan strategik dalam mengembangkan pendapatan, yang meningkat sebanyak 20.0 peratus tahun ke tahun.

Katanya, ini terbukti dengan pertumbuhan pendapatan bukan faedah (NOII) kumpulan yang teguh sebanyak 46.7 peratus tahun ke tahun berikutan inisiatif pengembangan pendapatan fi dan keuntungan pelaburan, terutamanya dalam segmen insurans.

“Kami juga melihat hasil positif daripada usaha pemulihan margin faedah bersih (NIM) dan pertumbuhan pinjaman di atas industri yang berterusan, menghasilkan pertumbuhan pendapatan faedah bersih (NII) yang mampan sebanyak 10.2 peratus tahun ke tahun.

“Prestasi suku pertama juga dibantu oleh sumbangan sihat daripada rakan sekutu kami dan disiplin kami yang teguh dalam pengurusan kualiti aset, modal dan kecairan,” katanya.

Beliau menjangkakan momentum ekonomi positif Malaysia akan dibawa ke tahun 2025, tetapi mengambil kira risiko penurunan dan halangan luaran yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berkembang antara ekonomi utama.

“Secara keseluruhannya, HLFG berada pada kedudukan yang baik untuk meraih pertumbuhan ekonomi dan menyampaikan penciptaan nilai yang mampan untuk pihak berkepentingan kami melalui meningkatkan keupayaan digital, mengembangkan rangkaian produk dan menyampaikan penyelesaian yang mementingkan pelanggan.

“Kami juga akan terus mengekalkan pemantauan pinjaman yang kukuh dan pengurusan risiko kredit, sambil melaksanakan kawalan kos yang berhemat dan pelaburan dalam daya tahan operasi dan keupayaan digital di seluruh kumpulan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×