Dasar terbuka Kamala lebih positif untuk ekonomi Malaysia

Dasar terbuka Kamala lebih positif untuk ekonomi Malaysia

KAMALA Harris mempunyai dasar terbuka yang lebih positif kepada ekonomi Malaysia.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenangan Kamala Harris dalam pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi impak yang lebih positif kepada ekonomi global termasuk Malaysia berbanding lawannya, Donald Trump.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, calon presiden Parti Demokrat itu mempunyai dasar yang lebih terbuka dan liberal berbanding Donald dari Parti Republikan.

Katanya, Kamala tidak akan melaksanakan dasar yang defensif seperti Donald dan beliau akan lebih terbuka seperti yang diamalkan oleh Presiden, Joe Biden.

“Ya, secara amnya kemenangan Kamala akan lebih baik kepada ekonomi global dan Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, Donald sudah mempunyai rekod terdahulu sebagai Presiden AS, jadi semua pemegang taruh di luar dan dalam negara AS sudah boleh mengunjurkan bentuk kepemimpinan beliau, disokong dengan kenyataan dalam tempoh berkempen ketika ini.

“Sekiranya, Donald menjadi Presiden AS, pasaran menjangkakan beliau akan lebih menumpukan kepada ekonomi domestik AS yang dikatakan telah mulai perlahan, menumpukan pada faktor-faktor membangunkan ekonomi, kawalan inflasi domestik dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat AS.

“Beliau juga akan mengurangkan barangan import dan menggalakkan barangan keluaran domestik di pasaran serta mengukuhkan kembali nilai mata wang dolar AS sebagai mata wang dunia.

“Selain itu, beliau juga mahu mengekalkan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) dan tidak menurunkan kadar faedah hanya sekiranya terdesak. Pelbagai tarif ke atas barang import terutama dari negara saingan utama seperti China dan BRICS akan dikenakan oleh AS,” ujarnya.

Tambah beliau, Perang Chip yang dimulakan Donald dahulu akan dibawa naik ke peringkat yang lebih tinggi dengan lebih tekanan kepada barangan dan perkhidmatan China.

“Ini termasuklah kepada negara-negara ketiga yang menjadi transit mahupun perpindahan kilang milik China di negara lain seperti Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Thailand akan mengalami tarif yang lebih tinggi untuk masuk kepasaran AS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Donald dijangka akan melaksanakan langkah bersifat melindungi industri tempatan secara agresif terutamanya penggunaan tarif jika memenangi pilihan raya. 

“Selain itu, pemotongan cukai secara berkekalan bagi dasar yang dilaksanakan pada 2017 dan penghantaran semula pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen berpotensi untuk menyebabkan kenaikan inflasi di AS. 

“Perkara ini boleh mendorong pihak Fed untuk tidak memotong kadar faedah. Justeru hal ini boleh menyebabkan nilai dolar AS meningkat,” 

“Setidak-tidaknya, Kamala ada cadangan untuk memperbaiki kedudukan fiskal seperti mahu menaikkan cukai korporat,” ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua calon ini masih berlandaskan dasar yang bersifat ‘protectionist’ atau melindungi terutama dengan negara China dan kedua-duanya  menyokong isu negara Israel dari aspek mempertahankan negara mereka. 

“Justeru, ia adalah soal darjah atau intensiti terhadap dasar yang ‘protectionist’. Oleh itu, situasi ekonomi luaran pada tahun 2025 adalah mencabar,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×