SME Bank laksana  Pelan Hala Tuju Halal selama lima tahun

SME Bank laksana  Pelan Hala Tuju Halal selama lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menegaskan komitmennya dalam memainkan peranan penting untuk memajukan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) melalui Pelan Hala Tuju Halal selama lima tahun.

Pelan ini disokong oleh pembiayaan Islam yang kukuh serta inisiatif pembinaan kapasiti dan pembangunan keupayaan yang berterusan untuk merangsang pertumbuhan sektor halal. 

Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, komitmen syarikat dalam menyokong inisiatif HIMP 2030 kerajaan melalui pembangunan komprehensif pelan tersebut yang merangkumi penyelesaian kewangan yang berkesan serta patuh syariah. 

Katanya, pelan ini menyokong ekosistem halal melalui tiga teras utama iaitu pembangunan kapasiti, inovasi produk dan pembiayaan, di samping usaha untuk pengantarabangsaan halal.

Jelasnya, ia juga direka untuk membantu perniagaan mendapatkan pensijilan halal, sambil menyediakan akses lebih mudah kepada modal serta memperkasakan mereka untuk berkembang dalam pasaran halal, di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kami juga merupakan satu daripada institusi kewangan yang diberi mandat dalam Belanjawan Negara 2024 untuk menggerakkan Program Pembiayaan HalalBiz yang menggalakkan penyertaan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam ekosistem halal.

“Selain itu, Program Eksport Perniagaan (BEP) kami menyokong syarikat mengembangkan kapasiti dan keupayaan mereka untuk eksport termasuk dalam sektor berkaitan halal. Ini adalah selaras dengan komitmen teguh kami untuk terus merangsang pertumbuhan sektor halal,” katanya dalam kenyataan. 

Setakat ini, portfolio pembiayaan SME Bank bagi sektor berkaitan halal berjumlah kira-kira RM2.41 bilion, yang mewakili 27 peratus daripada jumlah portfolio bank dalam pelbagai segmen ekonomi utama. 

Tambahnya, melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), bank terus memperkasakan ekosistem PMKS melalui pelbagai sesi bimbingan perniagaan, perundingan pensijilan halal dan jelajah halal.

Katanya, ini digerakkan melalui program Pembangunan Kapasiti Produk Halal, Program Pembangunan Kapasiti Keusahawanan Halal dan Program Keusahawanan Teknologi Halal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Shariah Kumpulan SME Bank, Jumadi Kadir turut menekankan integrasi konsep ‘Halal Tayyib’ ke dalam Pelan Hala Tuju Halal bank. 

“Ini bukan sekadar pematuhan terhadap piawaian halal, tetapi juga memastikan amalan etika merentasi keseluruhan industri halal, sekali gus memupuk ekosistem yang berkembang maju untuk PMKS,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN