Perkenal skim sewa beli perumahan

Perkenal skim sewa beli perumahan

PASARAN hartanah mencatat nilai transaksi RM57 bilion pada suku ketiga 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan memperkenalkan skim sewa beli atau ‘rent to own’ (RTO) bagi membantu rakyat negara ini membeli rumah sendiri dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini.

Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkata, orang awam kini berdepan kesukaran untuk membeli rumah sendiri berikutan kos hartanah yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, skim sewa beli ini harus datang dengan komitmen dari bakal pembeli sendiri. 

“Antaranya dengan meletakkan sedikit deposit dan dengan jaminan tidak berlaku ingkar bayar di antara tempoh sewa beli dan meninggalkan rumah dalam keadaan yang harus dibaiki sebelum diserahkan pula kepada penyewa beli yang baharu. 

“Selain itu, undang-undang lebih menyeluruh untuk penyewaan rumah seperti Akta Sewa Kediaman harus diperkenalkan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Nazri berkata, pengenalan semula kepada deposit wajib apabila membeli rumah juga perlu untuk menggalakkan bakal pembeli memiliki sifat berjimat.

Katanya, kerajaan boleh memperkenalkan matching grant atau ganjaran kepada mereka yang membeli rumah dengan deposit.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memantau peningkatan harga rumah yang terdapat dalam data sama ada ia adalah tulen atau harga yang dinaikkan tanpa asas.

“Kerajaan boleh mengkaji cara mengawal kos pembinaan dan bahan mentah yang digunakan dalam pembinaan. Selain itu, memberi insentif kepada pemaju untuk mengurangkan harga rumah supaya tidak terlampau mahal,” jelasnya.

Tambah beliau, pemberian insentif untuk pembeli rumah yang sebenarnya membantu aktiviti ekonomi dengan sumbangan kepada pemain-pemain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri hartanah seperti pembiaya, pemaju, kontraktor dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2025 juga perlu memberi penekanan dalam meningkatkan peruntukan untuk keselamatan awam dan sistem perundangan serta usaha untuk menangani isu-isu sosial seperti jenayah dan ketidakadilan.

“Peruntukan lebih banyak untuk aktiviti pembenterasan rasuah dengan lebih agresif bermula dari peringkat atasan sehingga ke bawah,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN