PETALING JAYA: World Prominence Sdn. Bhd. (WPSB) melalui produknya, SUDEE berjaya menempa nama di pasaran global dengan pensijilan halal yang diterimanya pada 2005 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarah Urusan dan juga Pengasas WPSB, Jamaludin Adnan berkata, beliau bersama rakan kongsinya, Ahmad Fauzi Kari amat menekankan kepentingan pensijilan halal untuk memajukan perniagaan dalam industri makanan.
“Pensijilan halal akan sentiasa memastikan produk kami memenuhi piawaian yang tinggi supaya dapat memberikan keyakinan kepada pelanggan di dalam dan luar negara tanpa rasa ragu.
“Selain itu, melalui penyertaan dalam pameran halal seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), SUDEE di terima pelanggan dan akan dieksport ke negara seperti Perancis, Australia, New Zealand dan Nigeria,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau memaklumkan, pensijilan halal telah membantu SUDEE menembusi pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi, United Kingdom dan Jerman.
“Dengan pengiktirafan halal, kami mampu bersaing di peringkat global dan mengembangkan lagi jenama SUDEE di pasaran dunia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, walaupun pernah menghadapi cabaran dalam menempatkan produk SUDEE di pasaran runcit tempatan, usaha gigih mereka berjaya apabila produk itu juga mula diterima di pasar raya besar seluruh Semenanjung Malaysia pada 2023.
“Satu daripada faktor kejayaan SUDEE adalah pensijilan halal Jakim yang dianggap sebagai ‘kemestian’ untuk memastikan produk diterima pelanggan.
“Sejujurnya, sijil halal memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa produk tersebut halal, bersih dan selamat untuk dimakan. Sijil ini bukan sahaja penting untuk pasaran domestik, malah membuka peluang eksport yang lebih luas,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap lebih ramai usahawan dalam industri makanan melihat pensijilan halal sebagai satu langkah penting untuk memajukan perniagaan mereka.
“Ini bukan hanya sebagai keperluan tetapi sebagai peluang untuk mengukuhkan jenama di pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.-UTUSAN










